HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 April 2018

PAS sokong Akta Antiberita Tidak Benar sebab keadaan semasa

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menyokong Akta Antiberita Tidak Benar yang dibawa kerajaan kerana diyakini mampu memberi kesan positif khususnya dalam peranan media massa dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat. 
 
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sokongan itu dizahirkan kerana melihat kepada situasi semasa yang banyak  penyebaran pembohongan dan fitnah terutama di media sosial. 
 
“PAS pernah menyokong undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 1957 ketika negara dalam keadaan darurat untuk menentang komunis dan golongan pelampau ketika itu,” katanya memetik lidah rasmi PAS, Harakah Daily. 
 
Mengulas lanjut Hadi berkata sama seperti Akta ISA, meskipun kerajaan pada zaman itu menyalahgunakannya sehingga membawa kesan kepada ahlinya namun dari sudut moral PAS menyokong Akta itu demi keselamatan negara. 
 
“Begitu juga menghidupkan moral yang luhur dan mulia, kita menyokong Akta Berita Tidak Benar ini.
 
"Negara kita menghadapi beberapa kali pindaan undang-undang, itu sebagai satu langkah yang awal untuk membuat perubahan.
 
"Dalam Islam ianya diserahkan dalam undang-undang ta'zir, iaitu diserahkan kepada budi bicara badan kehakiman dan pihak pemerintah," ujar beliau.
 
Menurut beliau lagi, manakala Umno pula beranggapan mereka masih berkuasa dan boleh menyalahgunakannya tetapi PAS melihat dari aspek moralnya, wajib menyokong akta tersebut.
 
Kenyataan Hadi berkenaan dikeluarkan sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan bacaan kedua RUU itu, dengan 123 undi menyokong dan 64 menolak.
 
Kesemua 11 anggota parlimen PAS yang hadir semalam menyokong RUU berkenaan kecuali Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) serta Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang tiada ketika sesi Parlimen semalam.
 
Sokongan Ahli Parlimen PAS itu bagaimanapun dipersoalkan wakil rakyat pembangkang, yang melahirkan rasa terkejut dengan tindakan PAS yang menyokong RUU berita palsu itu. 
 
"Adakah (PAS) ini parti pembangkang atau pemerintah? Dia dah jadi sebahagian BN ke untuk sokong undang-undang yang cabuli hak asasi manusia?, soal DAP. 
 
Dalam pada itu mengulas isu sama, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula mengingatkan supaya tidak tertipu dengan Pakatan Harapan (PH) yang menempelak PAS menyokong RUU kerana menyokong Umno.
 
Nik Abduh berkata, dakwaan yang dilemparkan itu tidak benar sama sekali selain menjelaskan sokongan yang dinyatakan PAS adalah atas dasar agama. 
 
RUU Antiberita Tidak Benar 2018 memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 kepada mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.
 
RUU itu juga memasukkan peruntukan untuk membenarkan permohonan perintah mahkamah untuk membuang bahan yang disahkan sebagai berita palsu.
 
Denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan jika gagal berbuat demikian.
 
 

Tiada ulasan: