KUALA KRAI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata rakyat akan menolak ”janji” Tun Dr Mahathir Mohamad untuk
membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika pakatan
pembangkang menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tentu sekali dengan ‘aku janji’ itu seluruh rakyat pantai timur akan
menolak cadangan beliau. Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih
atas cadangan itu.
“Tentulah Dr Mahathir membuat keputusan tepat menolak sokongan rakyat
di pantai timur terhadap partinya,” katanya secara sinis pada sidang
akhbar selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang hari ini.
Naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden itu berkata
cadangan menghentikan ECRL oleh pakatan pembangkang akan memberi
kelebihan kepada Barisan Nasional.
Dalam satu program di Putrajaya pada Ahad, Dr Mahathir yang juga
pengerusi Pakatan Harapan dilaporkan tidak menolak kemungkinan pakatan
itu akan menghentikan projek ECRL sekiranya menang dalam pilihan raya
umum ke-14 (PRU14) dengan menyifatkannya satu pembaziran.
Mengenai seorang ketua Umno bahagian ditahan kerana positif dadah di
pusat hiburan di Kuala Lumpur semalam, Ahmad Zahid berkata perkara itu
akan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.
“Walaupun kita tidak boleh menghukum mana-mana individu sebelum
diputuskan mahkamah tapi dari segi moral dan politik ia agak
mendukacitakan dan tidak seharusnya berlaku,” katanya
“Kita akan bawa kepada mesyuarat dan tindakan (disiplin) akan dikenakan mengikut perlembagaan Umno,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan