HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Mei 2018

Najib akur, cuti dalam Malaysia saja

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akur dengan arahan Jabatan Imigresen Malaysia yang melarang dirinya bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor daripada meninggalkan negara.
 
Sehubungan itu beliau yang merupakan Pengerusi Barisan  Nasional (BN) mengambil keputusan untuk menghabiskan masa bersama keluarga dengan bercuti dalam Malaysia sahaja.
 
"Saya telah dimaklumkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia tidak membenarkan saya dan keluarga ke luar negara. 
 
"Saya menghormati arahan tersebut dan akan bersama keluarga dalam negara," katanya menerusi entri di akaun Twitter rasminya, @NajibRazak sebentar tadi.
 
Jabatan Imigresen melalui laman rasmi Facebooknya mengesahkan dua individu berkenaan disenarai hitamkan untuk ke luar negara.
 
"Jabatan Imigresen ingin mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor baru sahaja disenarai hitamkan dari keluar negara", katanya. 
 
Awal pagi hari, Najib mengambil keputusan untuk berehat seketika dan meluangkan masa dengan keluarganya selepas beberapa tahun tidak berpeluang berbuat demikian.
 
Tanpa mendedahkan butiran perjalanan sempena 'cutinya', beliau berkata, ia perlu selepas berkecimpung lebih empat dekad dalam dunia politik dan mengharungi kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang digambarkan bersifat peribadi serta amat getir.
 
"Saya berdoa pasca tempoh polarisasi ini, negara akan kembali bertaut. Saya memohon maaf terhadap sebarang kepincangan dan kesalahan, selain berterima kasih kepada rakyat yang memberi peluang untuk menerajui Malaysia.
 
"Ia adalah satu penghormatan dalam seumur hidup saya kerana diberikan peluang untuk berkhidmat kepada rakyat dan Malaysia," katanya.
 
 

Tiada ulasan: