ULASAN | Kenyataan
Menteri Belia dan Sukan, Sdr Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu
forum di Sunway University baru-baru ini berkenaan hasratnya (kerajaan)
untuk memansuhkan Biro Tatanegara (BTN) hanya bersandarkan hujah bahawa
fungsinya disalahgunakan oleh Umno.
Bagi saya hujah itu kurang rasional, lebih-lebih lagi bagi seorang tokoh politik muda yang dihormati seperti beliau.
Sebagaimana yang telah saya nyatakan dahulu, kerajaan
baharu tidak wajar menghakimi agensi ini semata-mata kerana fungsinya
disalahgunakan oleh elit politik terdahulu, hingga menjadi sebahagian
daripada aparatus Umno ‘mencuci otak’ anak-anak belia.
Kerana jika itu hujahnya, maka Jabatan Peguam Negara
wajar juga dimansuhkan. Felda dan Tabung Haji juga perlu dimansuhkan.
Barulah adil.
Kedua, berkenaan hujah kerana ia telah termaktub dalam
manifesto Pakatan Harapan, maka ia wajib dimansuhkan. Kedua-dua hujah
ini telah saya hadap dengan pandangan seadanya.
Dari kedudukan sebagai menteri belia dan sukan, saya
berfikir mengapa tidak biro ini dikembalikan kepada Kementerian Belia
dan Sukan daripada dibiarkan bawah Jabatan Perdana Menteri?
Bukankah asal kewujudan BTN pada tahun 70-an itu ditubuhkan bawah kementerian yang sedang Sdr Syed Saddiq sandang ini?
Pada peringkat awalnya agensi dirangka untuk dijadikan
makmal penyelidikan bagi pembangunan belia negara. Mengapa bukan ini
dijadikan langkah mereformasikan agensi tersebut oleh 'bro menteri'?
Berbalik kepada hujah pemansuhan ini sudah termaktub
dalam manifesto Pakatan Harapan. Saya rasakan manifesto ini tidak dapat
lari dari kelemahannya.
Semalam, Wan Saiful Wan Jan, timbalan pengarah biro
strategik dan dasar BERSATU, yang satu parti dengan Syed Saddiq, telah
dilaporkan Malaysiakini mengupas isu data yang tidak mencukupi ketika merangka manifesto HARAPAN.
Ini menjelaskan lagi bahwa manifesto yang dirangka
sebelum ini terdapat kelemahan. Kita harus akuinya. Kerana itu, beberapa
perkara dalam manifesto tersebut agak sukar dilaksanakan. Maka satu
kajian perlu dibuat demi memastikan ia boleh dilaksanakan dengan tempoh
masa yang baharu.
Saya mengaitkan dua perkara ini untuk menjelaskan bahawa
manifesto bukanlah kitab suci, sepertimana pandangan Tun Mahathir
Mahathir, pengerusi BERSATU.
Saya tidak melihat Biro Tatanegara sebagai medium
politik kerajaan, apatah lagi sebagai medium politik kepartian
sebagaimana Umno menggunakannya.
Sebaliknya saya melihat BTN sebagai institusi awam yang perlu direformasikan atas kepentingan pembangunan sosial rakyat.
Peranan institusi ini harus dikembalikan untuk menggilap
identiti rakyat khususnya golongan muda dan kelas pekerja termasuk
kumpulan profesional, sebagai sebuah identiti negara bangsa.
Dari aspek sasaran peserta BTN ini, golongan muda dan
kelas pekerja ini adalah kumpulan penyumbang yang penting terhadap
ekonomi dan kestabilan sosial negara kita.
Satu kerangka baru diperlukan bagi mereformasikan modul
dan agenda BTN agar ia benar-benar boleh menyumbang ke arah perpaduan
nasional dengan cara yang lebih efektif.
Kerajaan HARAPAN juga harus mengkaji dan menstrukturkan
kembali kos-kos peruntukan bagi agensi ini. Ini adalah keperluan
reformasi iaitu perbelanjaan berdasarkan keperluan utama dan kecekapan
dan ketelusan mengurus perbelanjaan menerusi dasar penjimatan.
Kembalikan Fungsi BTN
Mereformasikan BTN dengan model yang baharu ini adalah
berasaskan matlamat bangsa yang bernegara. Model ini harus bersifat
inklusif melangkaui bangsa, agama dan budaya serta kelas sosial.
Kelemahan BTN sebelum ini kerana digunakan sebagai alat
politik kepartian oleh Umno/BN harus diperbetulkan. Inilah masanya
kerajaan HARAPAN menunjukkan bagaimana reformasi boleh dilaksanakan
untuk kebaikan rakyat.
BTN boleh menjadi institusi untuk merealisasikan
identiti sebuah negara bangsa. Jika Amerika memiliki American Dream,
apakah kita tidak mempunyai Impian Malaysia?
MAHDZIR IBRAHIM adalah anggota DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan