HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Julai 2018

Kes bayi mati: Polis pohon sambung reman pengasuh

 
Polis berkata bedah siasat ke atas Naufal Amsyar akan dilakukan esok.




TANGKAK: Polis akan memohon perintah sambung reman terhadap seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun bagi membantu siasatan kes seorang bayi lelaki 10 bulan yang meninggal dunia hari ini selepas dipercayai terjatuh di rumah pengasuhnya di Taman Sialang.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohad Idris Samsuri berkata tempoh reman sejak Khamis lepas yang diperoleh sebelum ini akan berakhir esok dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Proses bedah siasat untuk mengetahui sama ada kecederaan lama atau baharu yang ada pada bayi terbabit, Naufal Amsyar Nabil Fikri akan dilakukan esok di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar,” katanya.

Beliau berkata keperluan untuk membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan juga bergantung kepada keputusan bedah siasat tersebut.

Naufal Amsyar, anak tunggal pasangan Nabil Fikri Anwar, 28, dan Noraziqah Rohmat, 23, meninggal dunia kira-kira 9.00 pagi ini selepas 4 hari dirawat di HPSF.

Selasa lepas, bayi yang baru sahaja dijaga pengasuh terbabit sejak 28 Jun lepas, dihantar ke Hospital Tangkak selepas dipercayai diserang sawan sebelum dirujuk ke HPSF.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan parah di kepala termasuk mempunyai kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.

Susulan itu, polis menahan pengasuh terbabit pada Khamis lepas bagi membantu siasatan selepas wanita itu memaklumkan Naufal Amsyar pernah 2 kali terjatuh buaian di rumahnya.

Tiada ulasan: