HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Julai 2018

GLC,GLIC: Lantik dikalangan profesional harus diberi keutamaan

Zahir Hassan


Pelantikan mana-mana individu memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) harus diberi keutamaan kepada profesional, berkelayakan, amanah dan menjiwai agenda reformasi.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Zahir Hassan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus memastikan apakah prinsip dan kriteria pelantikan untuk tadbir GLC dan GLIC.

“Untuk membatalkan kelayakan mereka yang profesional dan berkemampuan semata-mata kerana terlibat dengan politik kepartaian adalah tidak wajar.

“Sebaliknya mereka yang profesional, berkelayakan dan telah terbukti kesetiaan dengan perjuangan dan agenda reformasi perlu diberi keutamaan.

“Mereka yang menjiwai cita-cita perjuangan ini adalah satu aset besar dalam proses pembaharuan institusi yang kini sedang diusahakan,” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya lagi,mereka yang akan dilantik mengisi jawatan dalam GLC dan GLIC itu perlulah mempunyai kemampuan,kekuatan serta amanah.

“Kemampuan termasuk kelulusan, pengalaman, kesihatan, ilmu yang berkaitan, serta memiliki kekuatan untuk memegang amanah yang berikan itu.

“Amanah dalam memikul serta menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan tidak mengkhianati tanggungjawab tersebut.

“Jika tidak amanah, akibatnya adalah kehancuran. Profesional semata-mata tidak mencukupi,” ujarnya

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan pernah dibuat oleh Ketua Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin pada Mei lalu, yang dipetik berkata, kerajaan PH akan mengkaji semula dan mungkin mengubah pelantikan ahli politik dalam lembaga pengarah GLC dan GLIC.

Ini kerana Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin tidak mahu syarikat-syarikat GLC dan GLIC mendapat campur tangan tidak wajar daripada ahli-ahli politik mahu pun pihak luar.

Zahir yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Wilayah Persekutuan juga menegaskan, dalam perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh kepimpinan PKR pada era 1990-an telah mewujudkan sekumpulan profesional yang menepati kriteria untuk diangkat sebagai pemimpin dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di negara ini.

“Dalam liku-liku perjuangan era Reformasi selama 20 tahun, terserempak dengan ramai mereka yang profesional, mempunyai kelulusan, pengalaman serta berkemampuan untuk memimpin.

“Ada yang dibuang pekerjaan,perniagaan lingkup dianiayai, diturunkan pangkat, terpaksa keluar negara mencari pekerjaan, disembur gas pemedih mata, pancutan air asid, keluar-masuk lokap kerana berhimpun secara aman dan sebagainya.

“Mereka ini jugalah yang istiqamah dalam perjuangan agenda reformasi, terus-menerus menegakkan kebenaran dan keadilan dan kesetiaan tersebut dilanjutkan dengan penglibatan dalam politik kepartaian.

“Dalam keadaan yang amat tertekan, mereka terus mengambil risiko demi meneruskan perjuangan dan dalam masa yang sama menyuburkan sistem demokrasi negara,” ujarnya.

Tiada ulasan: