Oleh MALAYSIA DATELINE
Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan
Harapan (PH) setakat ini mengizinkan pencabulan terhadap bahasa Melayu,
agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam
pentadbiran mereka.
Bekas pemimpin yang akan dipanggil polis untuk memberi keterangan
berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata demikian
dalam catatan terbarunya menerusi Facebook, malam tadi.
“Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika UMNO
hilang kuasa. Kita (Umno) sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi
ujian Allah SWT ini.
“Insya-Allah, dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih
kepada parti, Umno boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat
terutamanya orang Melayu,” ujarnya.
Kali pertama Najib berpendapat Melayu terbangsat jika Umno hilang
kuasa adalah ketika berucap pada perasmian berkelompok persidangan
perwakilan Umno Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan
2020 pada 23 Ogos 2015.
PRU-14 mencipta rekod kemusnahan BN yang ditunjangi Umno selepas 61
tahun menjadi pemerintah apabila kalah teruk selepas Pakatan Harapan
mendapat mandat rakyat dengan 122 kerusi Parlimen.
Sebaliknya, BN hanya menang di 79 kerusi Parlimen dengan 55 daripadanya disumbangkan Umno.
Najib, 65, dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil
oleh polis dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan berhubung
siasatan skandal 1MDB.
Pada hari sama pengumuman polis berhubung nilai rampasan pelbagai
barang mewah di enam premis dikaitkan dengan Najib, bekas Perdana
Menteri itu di pejabat Malaysiakini pada 27 Jun lalu memberitahu Rosmah
sendiri terkejut dengan jumlah rampasan yang didedah mencecah hingga
RM1.1 bilion itu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan berkenaan pernah mendakwa wang
sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya adalah sumbangan daripada
ahli keluarga diraja Arab.
Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagaimanapun secara
konsisten menafikan sumber wang tersebut bukan dari syarikat pelaburan
negara sarat hutang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan