Peserta
Perhimpunan Aman Pertahan DYMM Agong dan Bantahan Terhadap Pemerintahan
DAP dihalang oleh anggota polis selepas cuba berjalan menuju ke
Bangunan Parlimen bertempat di hadapan Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman,
Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI
KUALA LUMPUR – Hasrat Pemantau Malaysia Baru berarak dan berhimpun di
hadapan bangunan Parlimen tidak kesampaian apabila dihalang oleh Polis
DiRaja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Mereka dihalang daripada memasuki Jalan Parlimen untuk berhimpun
secara aman bagi menunjukkan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pihak terpaksa akur
terhadap permintaan pihak PDRM walaupun halangan tersebut jelas
bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan kebebasan
bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Polis tidak membenarkan kami menyatakan sokongan kami kepada Yang
di-Pertuan Agong pagi ini.Dua kali cuba untuk bergerak, dua kali mereka
telah menahan kita menggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
“Saya mengambil keputusan kita tidak akan rempuh FRU kerana inilah
yang mereka mahukan memalitkan organisasi NGO kita sebagai ganas dan
ekstrem yang tidak mahu mengikut undang-undang.
“Tidak ada lagi kebebasan bersuara, tidak ada lagi kebebasan
berhimpun sedang di bawah undang-undang sedia ada itu hak kita di bawah
Perlembagaan, di bawah Akta Perhimpunan Aman, ianya hak kita untuk
bersuara dan menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya
pada sidang media di pekarangan parkir bertingkat di Ibu Pejabat Polis
Bukit Aman, di sini hari ini.
Terdahulu, Lokman bersama hampir 300 NGO dari seluruh Malaysia
berkumpul di luar perkarangan ibu pejabat pihak berkuasa itu untuk
mengadakan perhimpunan aman di luar bangunan Parlimen bagi menunjukkan
solidariti kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang hadir
pada istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat penggal ke-14 hari ini.
Lokman juga berkata, halangan daripada berhimpun secara aman itu
membuktikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad cuba melenyapkan
kebebasan bersuara sama ada rakyat mahupun pengamal media meskipun
rundingan dan perjanjian dibuat bagi memastikan demostrasi itu dibuat
secara terkawal.
“Saya yakin mesej kepada umum sudah disampaikan bahawa hari ini kita sebagai rakyat sudah ‘dicabul’ oleh Mahathir.
“Kalau orang cakap kita tak ramai, biarkan kerana kena sedar bahawa
satu Malaysia, 32 juta penduduk tahu siapa itu Maha Zalim siapa itu Maha
Firaun.
“Stigma dan fobia ini masih kekal hingga sekarang kalau ada 300 orang
hari ini kami turun, ini satu kemenangan besar kepada rakyat Malaysia,”
katanya.
Presiden
Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berbincang dengan pihak
polis pada Perhimpunan Aman Pertahan DYMM Agong dan Bantahan Terhadap
Pemerintahan DAP di hadapan Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI
Ditanya tentang hasil perbincangan pihak polis, beliau bagaimanapun
mendakwa perhimpunan aman itu dihalang walaupun peserta berjanji akan
mematuhi undang-undang.
“Saya ada tanya polis di bawah seksyen apa mereka tak benarkan kami
lalu tapi mereka tak jawab.
Tapi saya percaya ini semua adalah arahan
daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, susulan memangku tugas Tan Sri
Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri,” katanya lagi. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan