Presiden
Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Tan
Cheng Kiat bercakap pada sidang media di Pejabat MICCI Mont Kiara,
Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,
KUALA LUMPUR- Kehadiran Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) semasa tempoh
kritikal 100 hari selepas penubuhan kerajaan baharu telah membawa
kestabilan terhadap ekonomi dan keamanan Malaysia.
Lantaran itu pemain-pemain industri berpendapat peranan lima tokoh
ternama negara daripada pelbagai bidang itu hanya boleh ditamatkan
apabila barisan Kabinet yang tidak mempunyai pengalaman dalam memimpin
kementerian benar-benar mampu menjalankan tanggungjawab mereka
sendirian.
Menyifatkan kerjasama di antara CEP dengan para menteri yang baharu
dilantik sebagai hubungan pekerja senior dan pekerja baharu, Presiden
Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Tan
Cheng Kiat berkata, hubungan itu sangat penting demi memastikan Malaysia
terus maju dan aman walaupun berlakunya perubahan rejim buat pertama
kalinya dalam sejarah.
“Kerajaan baharu mempunyai terlalu banyak muka baharu kerana ini yang
rakyat mahukan (ketika mereka mengundi) maka muka-muka ini membarisi
barisan kabinet. Saya ada berjumpa dengan sesetengah menteri tersebut
dan mereka adalah orang yang sangat professional, bijak dan mampu
meningkat dengan cepat.
“Tetapi sebagai muka baharu pastinya mereka memerlukan bimbingan dan
di sinilah CEP hadir untuk memberikan bantuan dan merekalah yang telah
menciptakan kestabilan dan menanam keyakinan ketika tempoh penting
tersebut.
“Sama seperti seorang pekerja yang baharu menyertai sesebuah
syarikat, mereka memerlukan bimbingan daripada pekerja senior supaya
mampu menjalankan tanggung jawab mereka dengan baik demi kemajuan
syarikat.
“Ini antara peranan yang dijalankan CEP ketika ini dan perlahan-lahan
tugas mereka akan diambil alih oleh menteri-menteri kabinet apabila
mereka sudah bersedia dan mempunyai pengalaman untuk menerajui negara,”
katanya semasa sidang media di sini hari ini. Pemain-pemain
industri berpendapat peranan lima tokoh ternama negara daripada
pelbagai bidang itu hanya boleh ditamatkan apabila barisan Kabinet yang
tidak mempunyai pengalaman dalam memimpin kementerian benar-benar mampu
menjalankan tanggungjawab mereka sendirian.
Tambah Cheng Kiat, peranan CEP telah terbukti berjaya apabila mampu
mengelakkan impak negatif ketika berlakunya peralihan kerajaan ketika
Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional yang telah lebih 60 tahun
memimpin Malaysia.
Antaranya adalah dengan mengelakkan berlakunya kejatuhan pasaran
saham dengan teruk pada hari pertama bursa dibuka selepas PRU14.
“CEP menyediakan pelan-pelan penting kepada kerajaan baharu.
“Mereka memang individu yang sangat hebat dan telah memberikan
kestabilan segera kepada ekonomi contohnya pasaran saham. Walaupun
pasaran saham jatuh selepas PRU yang lalu namun impaknya tidak
seteruknya yang dijangkakan,” katanya lagi.
CEP yang ditubuhkan beberapa hari selepas Pakatan Harapan membentuk
kerajaan sepatutnya telah dibubarkan selepas mandat mereka untuk
menyediakan input dan cadangan kepada kerajaan tamat pada Ogos lalu.
Namun begitu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat,
CEP yang dianggotai oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin;
bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Pengerusi
Petronas, Tan Sri Hassan Merican; taikun perniagaan Tan Sri Robert Kuok;
dan pakar ekonomi terkenal Prof KS Jomo masih diperlukan walaupun
tempoh 100 hari yang diberikan telah tamat.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan