Hubungan antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dikatakan tidak pernah baik sejak krisis politik pada 1998.
Dakwaan persengketaan antara kedua-duanya juga dikatakan berlarutan sehingga kini hingga timbul spekulasi bahawa terdapat usaha sekali lagi untuk menghalang Anwar sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, Daim dalam wawancara menerusi rancangan Soal Rakyat di TV3 malam tadi menjelaskan beliau percaya Anwar akan tetap dipilih menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Daim berkata demikian ketika ditanya mengenai pengaruh Mahathir dan dakwaan 'konspirasi' dalam pemilihan sebuah parti, yang dipercayai merujuk kepada PKR.
"(Akhbar) South China Morning Post (SCMP) ada bertanya kepada saya mengenai ini, begitu juga dengan Singapura.
"Saya kata, yang pertamanya saya sudah tua, sudah bersara, malah kini sudah tiada parti selepas dibuang Umno. Jika saya berpengaruh, Umno tidak akan membuang saya.
"Sebenarnya saya tidak terbabit dalam parti lain, kenapa perlu saya terbabit. Orang tidak kenal hubungan saya dengan Anwar. Saya sudah lama mengenali Anwar." katanya.
Anwar sebelum ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR selepas tidak dicabar sesiapa dalam pemilihan parti itu.
Sebelum itu wujud khabar angin bahawa Anwar akan dicabar Datuk Seri Azmin Ali yang dilantik Mahathir sebagai menteri hal ehwal ekonomi bagi jawatan nombor satu dalam PKR.
Bagaimanapun, Azmin tidak berbuat demikian dan hanya mempertahankan jawatan timbalan presiden.
Pemilihan PKR juga menyaksikan pertembungan antara kem Azmin dan naib presiden PKR, Rafizi Ramli.
Rafizi dalam kenyataannya sebelum ini berkata beliau berbuat demikian sebagai usaha dalam memastikan Anwar dipilih sebagai perdana menteri kelapan.
'Jangan malukan Anwar'
Menurut Daim, Anwar mempunyai kekuatan tersendiri dan beliau yakin dengan keupayaan bekas menteri kewangan itu.
"Saya beritahu kepada kepada Singapura dan SCMP, Anwar akan ambil alih (Perdana Menteri).
Anwar ada kekuatan dia sendiri, kita tahu. Tidak perlu semua ini, jangan malukan nama Anwar.
"Saya memang percaya Anwar akan ambil alih, mereka menggunakan satu alasan seperti ketiadaan modal, cari konspirasilah, itu ini.
"Ia menunjukkan golongan ini mahu mencari pengaruh, apabila tiada pengaruh mereka menggunakan orang luar.
"Ini soal dalaman, kenapa biarkan orang luar masuk. Saya pun tidak boleh jawab soalan ini kerana saya bukan ahli parti," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan