ISU hukuman sebatan terhadap pesalah lesbian oleh
Mahkamah Syariah Kuala Terengganu masih menjadi bualan ramai pihak. Ia
tidak kurang lebih turut mendapat kecaman sebahagian golongan yang
berlindung di bawah nama hak asasi manusia yang masih menganggap hukuman
tersebut tidak wajar dilaksanakan.
Namun, pelaksanaan hukuman enam kali sebatan tersebut menjawab
sebahagian besar kecaman dan penyelewengan yang dihamburkan terhadap
hukuman perundangan Islam. Bentuk sebatan yang dikenakan jauh lebih
berperikemanusiaan dan bertujuan mendidik para pesalah supaya kembali ke
pangkal jalan, berbanding sebatan sivil yang menyakitkan.
Malangnya, sebahagian pihak masih berterusan menuduh hukuman tersebut
sebagai kejam. Pertikaian mereka bertitik tolak daripada dua aspek;
pertama, ke atas kesalahan seksual lesbian dan sebagainya yang dianggap
tidak menghormati kehidupan privasi golongan LGBT dan kedua, ke atas
bentuk hukuman sebatan yang dianggap 'barbaric' dan bertentangan dengan
perjanjian antarabangsa khususnya Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat
(Universal Declaration of Human Rights - UDHR).
Sewajarnya mereka membandingkan bentuk sebatan syariah dan sivil
sebelum memproklamir hukuman sebatan syariah tersebut sebagai kejam dan
tidak berperikemanusiaan. Ia suatu bentuk tohmahan yang tidak dapat
diterima oleh akal yang waras.
Tambahan pula, Islam juga sangat menghormati maruah seseorang, tetapi
adalah tidak tepat untuk menghujahkan sebatan di hadapan khalayak
sebagai sesuatu tindakan untuk menjatuhkan maruah si pesalah. Ia perlu
dilihat sebagai langkah untuk memberikan keinsafan serta sebagai cegah
rintang (deterrence) kepada pihak lain supaya tidak mengulangi kesalahan
yang sama.
Pihak yang berterusan menggunakan hujah hukuman sebatan tersebut
sebagai bertentangan dengan perjanjian antarabangsa (international
treaties) seperti UDHR dan sebagainya seharusnya lebih teliti dalam
memberikan pandangan. Kita mempunyai undang-undang domestik yang
terpakai ke atas setiap rakyat di negara ini dan tidak diikat oleh
sebarang perjanjian antarabangsa.
Perbahasan ini turut ditekankan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun
Abdul Hamid dalam beberapa penulisan beliau. Amat tidak wajar
dibanding-banding undang-undang domestik yang lebih mengikat dengan
undang-undang atau perjanjian di peringkat antarabangsa.
Justeru, kejayaan awal perlaksanaan hukuman sebat ini seharusnya
membuka mata mengenai keadilan serta hukuman yang lebih membumi bagi
menyedarkan si pesalah dan masyarakat lain amnya. Jelas ia satu langkah
memastikan perundangan Islam semakin realistik di negara ini dalam usaha
mengekang sebarang jenayah yang bertentangan dengan sifat insani. – HARAKAHDAILY
*Penulis ialah Ahli Parlimen Kemaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan