Aktiviti disinfeksi persekitaran asrama diteruskan setiap hari
PUTRAJAYA–
Sebanyak 22 kes baharu disyaki Influenza A (H1N1) dikesan di Sekolah Tuanku
Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan, Dr
Dzulkefly Ahmad.
Ini menjadikan jumlah kumulatif
dilaporkan di sekolah tersebut seramai 102 orang termasuk seorang guru yang
mempunyai jangkitan saluran pernafasan seperti demam, sakit tekak dan batuk,
katanya.
Menurutnya, terdapat seorang lagi
murid STAR dimasukkan ke hospital swasta ketika ini dan masih menunggu
keputusan makmal dan keadaan pelajar itu dilaporkan stabil.
“Seramai 51 pelajar lagi masih
diasingkan di asrama sekolah dan pemantauan ke atas mereka diteruskan,” katanya
selepas melancarkan Bulan Pemakanan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan empat
sampel daripada 79 pelajar yang dikesan mengalami kluster demam dan batuk di
STAR disahkan positif Influenza A H1N1.
Sebelum ini, tular dalam media sosial
berhubung dakwaan wujud ‘penyakit misteri’ yang mengancam pelajar sekolah
berkenaan.
Dr Dzulkefly berkata, pihaknya turut
memberi pendidikan kesihatan termasuk etika batuk serta meneruskan pemantauan
ke atas semua warga sekolah.
“Aktiviti disinfeksi persekitaran
asrama dilakukan sejak Isnin lalu. ‘Active case detection’ (pengesanan kes
secara aktif) diteruskan setiap hari sehingga tamat wabak,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai
supaya tidak perlu khuatir kerana keadaan terkawal di bawah pemantauan pihak
Jabatan Kesihatan Perak.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan