KUALA LUMPUR: Satu
video klip menunjukkan sebuah kereta peronda polis telah diperiksa oleh
beberapa orang petugas pada PRK Rantau yang memakai baju Pakatan Harapan
telah mengundang pelbagai spekulasi di media sosial.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli
Shaari menggesa pihak polis agar melakukan siasatan yang terperinci
berhubung bagaimana insiden seperti itu boleh berlaku.
"Insiden seperti ini amat memalukan
pihak polis sebagai penguatkuasa undang-undang kerana kereta mereka
telah diperiksa oleh orang awam dengan sewenangnya.
"Orang awam tidak mempunyai kuasa dari segi undang undang dan ini adalah budaya baru yang dibawa oleh Pakatan Harapan," ujarnya.
Beliau mempersoalkan bagaimanakah
anggota polis sebagai penguatkuasa boleh tunduk kepada orang awam yang
memerintahkan mereka untuk membuka bonet kereta seperti yang tular
baru-baru ini.
Fadhli turut mendesak pihak polis agar
mengeluarkan kenyataan dan melakukan siasatan yang terperinci serta
menahan dan menghadapkan pihak yang terlibat ke muka pengadilan demi
kedaulatan undang-undang.
"Kejadian ini merupakan perkara yang tidak sihat di sisi undang-undang,” katanya lagi.
Sementara itu, Berta Harian Online
malam tadi melaporkan seorang peniaga ayam berusia 37 tahun menjadi
individu ketiga ditahan, jam 4.00 petang semalam berhubung kes
berkenaan.
Sumber polis berkata, tiga lelaki berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk permohonan reman. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan