Belum ada keputusan muktamad berhubung cadangan penjenamaan semula
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada nama baru
Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA), kata exco Jawatankuasa Tetap
Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng
Sze Han.
Soal penjenamaan semula lapangan terbang itu timbul
susulan tersebarnya satu surat di laman Twitter yang menyatakan cadangan
tersebut telah dipersetujui dan disahkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan
Negeri (Exco) Selangor, Oktober tahun lalu.
“Isu ini cuma pernah disebutkan dalam MMKN (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri), setakat ini tiada apa-apa yang telah diputuskan.
“Perkara
ini timbul kerana KLIA terletak di Sepang, Selangor. Lapangan terbang
antarabanga yang terkenal sering menggunakan lokaliti sebagai namanya,
contohnya adalah Narita/ Haneda di Tokyo, Incheon di Seoul, Suvarnabhuni
di Bangkok, Baiyun di Guangzhou, Pudong di Shanghai, Schipol di
Amsterdam dan sebagainya,” kata Ng kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Beliau
turut mengesahkan surat yang dibocorkan di media sosial itu merupakan
minit mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor tetapi tidak mahu mengulas
lebih lanjut.
Minit mesyuarat yang bocor di Internet.
Dalam
surat itu, penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh exco Jawatankuasa
Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan
Sederhana, Teng Chang Kim dicadangkan untuk mencerminkan lokaliti KLIA
yang terletak di daerah Sepang.
“Keperluan ini adalah seiring
dengan nama lapangan terbang antarabangsa di luar negara yang
menggunakan lokaliti sebagai nama rasmi lapangan terbang tersebut.
“Sehubungan itu, cadangan nama yang dipersetujui oleh exco adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA),” kata surat itu.
Menurut surat itu, Ng akan membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara.
Sementara
itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke apabila diminta mengulas
cadangan itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi
daripada kerajaan negeri Selangor.
“Saya belum menerima sebarang permohonan rasmi dari kerajaan Selangor. Setakat ini, nama KLIA kekal,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan