KERAJAAN Terengganu tetap akan melaksanakan caj percuma kepada pesakit wad kelas tiga di semua hospital kerajaan di negeri ini selewat-lewatnya Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ia tetap akan dilaksanakan seandainya tidak mendapat ‘restu’ Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pelan dan perancangan untuk melaksanakan perkara itu yang juga antara manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Sepatutnya kita hendak mulakan sejak Januari lalu, tetapi tidak mendapat restu daripada Kementerian Kesihatan.
“Ketika ini kita masih berbincang secara adik beradik dengan kementerian dan sekiranya masih tidak direstui, maka kita akan laksanakan dengan pelan yang kita rancang,” katanya menjawab soalan lisan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) bilakah kerajaan negeri akan menguatkuasakan caj percuma untuk pesakit wad kelas tiga seperti dijanjikan PAS pada PRU-14 lalu.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta setahun untuk pelaksanaan caj percuma untuk wad kelas tiga yang dirancang.
Beliau berkata, kementerian menolak cadangan melaksanakan caj percuma untuk wad kelas tiga itu atas alasan ia dibimbangi akan mengakibatkan lambakan pesakit di wad kelas tiga, selain katil di wad sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.
Katanya, antara alasan lain ialah menyebabkan peningkatan kos pentadbiran, pertambahan bilangan perjawatan, masalah kekurangan kakitangan di Unit Hasil hospital, ketiadaan sistem bagi melaksanakan cadangan itu dan dikhuatiri akan menimbulkan isu audit pada masa depan.
Bagaimanapun Alias berkata, kerajaan negeri mempunyai mekanisme pelaksanaan yang kemas termasuk menempatkan seorang pegawai di hospital untuk urusan bil dan diyakini tidak akan menimbulkan sebarang masalah.
“Cadangan kita mudah saja, pihak hospital hantar bil pada Setiausaha Kerajaan Negeri dua minggu sekali dan kita akan bayar, tetapi ia turut ditolak oleh kementerian.
“Justeru kita akan tempatkan pegawai di hospital khusus untuk melaksanakan pembayaran bil wad pesakit kepada hospital.
“Jika kerajaan Persekutuan menerusi kementerian tidak mahu tanggung gaji pegawai tidak mengapa, kerajaan negeri akan bayar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan