ISMA WEB
Presiden Multiracial Reverted Muslim akan buat laporan polis

BANGI
– Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung, akan
membuat laporan polis susulan ugutan bunuh terhadapnya yang dimuat naik dalam
laman Facebook menggunakan nama ‘Pandian Sam’.
Dalam satu kenyataan hari ini,
pendakwah bebas itu berkata, beliau kini berada di Jakarta dan akan membuat
laporan polis sebaik tiba di Malaysia.
Tanpa menjelaskan bila akan kembali
ke Malaysia, beliau berkata, ugutan bunuh itu dibuat selepas pejabat MRM
diserbu pihak tertentu sebelum ini.
“Kami mengambil pendekatan mengkaji
semua agama dan fahaman dari sumbernya untuk berlaku adil. Dulu, mereka fitnah
kami kononnya kami terjemah kitab mereka, tetapi bila dah terbukti yang
menterjemahkan kitab adalah sarjana mereka, mereka putar belit lagi kata kami
tak boleh beli.
“Yang menjualnya pula adalah pendeta
Hindu sendiri. Kami bukan sahaja mengkaji Hindu tetapi Kristian, Buddha, Islam,
Sikhism, Taoism, Confucianism dan banyak lagi dan jikalau ada kesalahan, buat
laporan polis atau saman kami sahaja.
“Tetapi ini tidak. Mereka mengugut
bunuh. Saya masih berada di Jakarta dan InshaAllah saya akan terus membuat
laporan polis apabila sampai ke Malaysia. Kelompok ekstremis ini sangat
merbahaya untuk negara,” katanya.
Katanya, MRM menulis secara akademik
tetapi dibalas dengan ugutan bunuh.
Sehubungan itu, beliau juga meminta
umat Islam lain turut membantu membuat laporan polis dan tidak sesekali
mengambil tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang
negara.
Firdaus Wong berkata, laporan polis
perlu dilakukan supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap
kelompok ekstremis itu.
“Saya seru sahabat semua untuk
membuat laporan polis kes ini agar pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan
mengambil tindakan terhadap mereka!
“Laporan polis bukan untuk saya
tetapi untuk menjaga keamanan dan keharmonian negara daripada kelompok ekstremis,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan