9.3 juta pencarum pasti terkilan dengan agihan hibah 1.25 peratus
BANGI
– Lembaga Tabung Haji (TH) digesa memberi penjelasan kepada rakyat
berhubung pengagihan hibah 1.25 peratus bagi tahun 2018, yang diumumkan
baru-baru ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob
berkata, penjelasan lengkap perlu diberikan segera memandangkan jumlah
hibah yang diagihkan rendah berbanding sebelum ini.
Memetik laporan media tempatan, beliau
berkata, pendedahan yang sebaiknya perlu diberikan kepada 9.3 juta
pencarum supaya tidak timbul andaian negatif kepada kerajaan.
“Pastinya pencarum berasa amat terkilan
dengan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus. Kita juga rasa terkilan
dengan pengumuman hibah itu,” katanya.
Sebelum ini, TH mengumumkan agihan hibah
sebanyak 1.25 peratus – yang terendah dalam sejarah – membabitkan
pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun
kewangan 2018.
Agihan itu boleh dilakukan selepas
prestasi kewangan TH pada tahun lalu memenuhi dua syarat, iaitu ada
keuntungan boleh agih dan aset melebihi liabiliti mengikut Akta Tabung
Haji 1995.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Mujahid Yusuf Rawa berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan
membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan
9.3 juta pendeposit.
Katanya, dalam menzahirkan komitmen ini,
kerajaan akan menyediakan peruntukan RM500 juta pada 2020 dan seterusnya
sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan