ABDUL HADI AWANG
KONSEP demokrasi di
Malaysia adalah pemisahan kuasa di antara legislatif dan eksekutif,
laksana pemisahan di antara badan kereta, enjin dan pemandunya.
Seringkali betapa baiknya kereta dan
enjin, tetapi kalau pemandunya tidak cekap memandu dan mengurus sama ada
tidak berlesen atau mendapat lesen terbang, maka perjalanannya juga
tidak akan selesa dan selamat.
Begitu juga kalau pemandunya tidak kenal
arah hala tuju atau tidak tahu membaca peta perjalanan (road map) yang
bercelaru adalah lebih malang, mungkin tidak sampai ke destinasi yang
dituju atau terlalu lambat sehingga menghilangkan waktu dan membazirkan
minyak. Apatah lagi kalau pemandunya tidak tahu membezakan di antara
petrol dan diesel, kalau tersilap minyak yang digunakan boleh merosakkan
enjin, lagilah malangnya datang tidak berbau.
Saya sangat menghormati YAB Perdana
Menteri yang sangat berpengalaman memimpin negara beberapa penggal
sehingga menaikkan nama negara kita di persada antarabangsa.
Saya tetap mengakuinya walaupun
sepanjang masa menjadi pembangkang. Malangnya sekarang beliau dibantu
oleh Jemaah Menteri yang tidak boleh menolongnya, lebih malang kalau ada
yang seperti mahu menolak imam sebelum habis sembahyang yang bukan
boleh dibatalkan begitu sahaja, lebih parah lagi kalau terjadi seperti
menebuk kapal dalam perjalanan.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:
- HARAKAHDAILY
إِذَا أرَادَ اللَّه بالأمِيرِ خَيْراً، جَعَلَ لَهُ وزيرَ صِدقٍ، إنْ نَسي ذكَّرهُ، وَإن ذَكَرَ أعَانَهُ، وَإذا أَرَاد بهِ غَيرَ ذَلِكَ جعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إنْ نسي لَمْ يُذَكِّره، وَإن ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ". رواه أَبُو داود بإسنادٍ جيدٍ عَلَى شرط مسلم. رياض الصالحين ط الرسالة (ص: 227)."Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang pemimpin itu, nescaya diadakan bersamanya menteri yang benar (baik), kalau pemimpin itu lupa diperingatkannya, kalau pemimpin itu sudah ingat (tidak lupa) nescaya ditolongnya. (Sebaliknya) kalau Allah menghendaki bagi seseorang pemimpin itu keburukan, nescaya diadakan bersamanya menteri yang tidak baik, kalau pemimpin itu lupa nescaya tidak diperingatkannya, dan kalau pemimpin itu sudah baik nescaya tidak ditolongnya". (Riwayat Abu Daud)
Dalam urusan berkaitan hal ehwal agama
Islam, sekiranya tidak diurus dengan baik, maka tidak mendapat petunjuk
ke jalan yang betul mengikut petunjuk agama yang betul, seperti semua
perkara agama digunakan akal semata-mata tanpa hidayah dan ilmunya
berkenaan Al-Din atau tidak mempedulikan ciri-ciri rohaninya.
Contohnya, sekolah-sekolah agama Islam
dan Tabung Haji diserahkan atau dicampur urusannya oleh anasir bukan
Islam yang tidak sepatutnya dari segi roh dan moral atau kalangan yang
jahil berkenaan Islam, maka tujuannya tidak tercapai walaupun niatnya
baik dan ikhlas, kesudahannya menjadi lebai malang.
Begitu juga dalam urusan kewangan sama
ada banyak duit dalam simpanan atau berhutang sebanyak-banyaknya, kalau
salah urusnya jadilah boros seperti mencurah garam ke dalam laut yang
sudah masin, atau jadilah bakhil seperti garam yang sedikit tidak
sepadan makanan yang hendak dicukupkan masinnya.
Sama malangnya kalau tukang masak yang
kemahirannya menggunakan senduk dan sudu ditugaskan dalam perkara
senjata canggih mempertahankan negara, kerani yang pandai menulis sahaja
disuruh menanam padi, dan penghulu kampung ditugaskan menjaga bandar
raya.
Sebenarnya kita mempunyai penjawat awam
yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam kerjayanya. Maka
janganlah disalahkan mereka, sekali pun berlaku banyak perkara yang
tidak menyenangkan rakyat. Apabila rakyat yang memilih kerajaan melalui
pilihan raya, maka jangan menyalahkan penjawat awam yang menjadi jentera
kerajaan.
Dalam negara demokrasi, rakyat laksana
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang meluluskan lesen memandu, kalau
silap mengundi maka laksana meluluskan lesen terbang kepada pemandu.
Rakyat juga boleh diumpamakan seperti
penumpang yang memilih kenderaan untuk ke destinasi. Kalau mahu pergi ke
Utara Semenanjung, janganlah menaiki bas ekspres yang menghala ke
Singapura atau sebaliknya, hanya merugikan masa dan duit sahaja. Maka
jangan disalahkan jentera yang menjalankan kenderaan itu. Marah kepada
diri sendiri atau tegur pemandu itu baik-baik, pasti semuanya selamat.
Kita dapati di negara maju rakyatnya
berilmu, menjadikan pilihan raya satu perkara yang sangat diberi
perhatian, maka mereka tidak sewenang-wenangnya memilih kerajaan dan
pemimpinnya, sehingga boleh diatur dengan bijak bagi menyelamatkan
rakyat dan negara.
Para pemimpinnya pula bermaruah,
sehingga ada menteri yang meletakkan jawatan kalau dirinya sendiri
merasa bersalah. Bahkan dilakukan islah di tengah perjalanan tanpa
menyusahkan rakyat dan merosakkan negara.
Rasulullah S.A.W. menyuruh umatnya sangat berhemat memilih pemimpin dan jangan terlalu bernafsu mahu jadi pemimpin. Sabdanya:
نا والله لا نولِّي هذا العمل أحداً سأله، أو أحداً حرص عليه (متفق عليه)"Sesungguhnya Demi Allah! Kami tidak melantik seorang yang meminta-minta jawatan atau terlalu rakus kepada jawatan"Pendirian politik pilihan raya tidak seharusnya dipandang remeh seperti tertarik kepada syarahan penjual ubat yang petah bersyarah tanpa ilmu perubatan dan penyakitnya, sehingga memilih apa sahaja dan siapa sahaja yang sedap didengar dan dipandang. Akhirnya terpilihlah meraka yang sesat ideologinya atau tersasul memilih yang bercampur aduk pemikirannya atau tunggul kayu yang tidak berfungsi.
"Islam Memimpin"
*ABDUL HADI AWANG, Presiden PAS
- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan