
Pada satu sidang media di sini, kumpulan peguam itu yang diketuai Andy Yong dan jurucakap Kumpulan Bertindak Rakyat Berhubung Kehilangan Paksa (CAGED) Rama Ramanathan, mengkritik sikap sambil lewa kerajaan terhadap dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab ke atas kehilangan Koh dan Amri.
Yong dan Rama berkata, mereka mahu kerajaan menerima 2 tuntutan dalam masa sebulan, dan sekiranya ia gagal berbuat demikian, mereka akan mengheret Putrajaya ke mahkamah di bawah Akta Prosiding Kerajaan 1956.
Yong berkata, 2 tuntutan itu ialah pembentukan sebuah pasukan petugas khas bagi menyiasat perkara sebenar yang berlaku ke atas Koh dan Amri, serta memberi remedi kepada keluarga 2 orang itu.
Awal minggu ini, Suhakam memutuskan Koh dan Amri merupakan mangsa “kehilangan paksa” berikutan satu inkuiri yang mendengar testimoni kira-kira 40 saksi.
Gesaan supaya tindakan diambil terhadap beberapa pegawai tertinggi polis, termasuk Ketua Polis Negara yang akan bersara, Mohamad Fuzi Harun, yang mengetuai Cawangan Khas semasa kehilangan tersebut berlaku.
Koh diculik pada 13 Februari 2017 di Petaling Jaya, sementara Amri didapati hilang pada 24 November 2016 selepas keluar rumahnya di Perlis.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, memberi jaminan kerajaan tidak akan campur tangan dalam tindakan susulan berhubung dapatan Suhakam itu, tetapi pada masa yang sama berkata, kesimpulan inkuiri itu hanyalah khabar angin.
Yong berkata, kenyataan Dr Mahatjir bahawa dapatan Suhakam itu merupakan khabar angin “tidak boleh diterima” dan “salah”.
“Kami memberi masa 1 bulan kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan KPN (Mohamad Fuzi) untuk mengambil langkah ini (2 tuntutan) atau kami akan memfailkan tindakan undang-undang.”
Beliau berkata, mereka juga akan berjumpa keluarga Koh dan Amri jika mereka mahu dimasukkan ke dalam saman tersebut sekiranya ia tiba ke tahap itu.
“Kes ini penting bagi orang awam. Jika ia boleh berlaku kepada mereka berdua, maka ia juga boleh berlaku kepada orang lain,” kata Yong.
Dalam pada itu Rama berkata, beliau gembira kerana ramai peguam di negara ini yang mula tampil ke hadapan berhubung isu tersebut.
Beliau berkata, kenyataan Dr Mahathir bahawa dapatan Suhakam merupakan khabar angin sangat mengejutkan, sekali gus bertanya kenapakah sehingga kini tidak ada pihak yang dipertanggungjawabkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan