AMINUDDIN YAHAYA
Himpunan Solidariti Kedamaian yang diadakan baru-baru ini
gagal mencapai sasaran kehadiran yang disasarkan. Walaupun melibatkan
beberapa menteri dan timbalan menteri, diberikan liputan yang meluas
oleh TV dan media-media utama negara dan dihadiri oleh kedutaan asing,
namun tetap gagal menarik minat rakyat untuk hadir bersama.

Akhirnya himpunan menjadi begitu hambar sehingga ada pihak penyokong mereka terpaksa menggunakan pelbagai helah untuk membuktikan bahawa himpunan itu berjaya. Ada juga akhbar yang menulis bahawa Dataran Merdeka DIBANJIRI oleh peserta walhal jumlah yang sebenarnya adalah sebaliknya.
Apa yang lebih parah lagi ialah kurangnya peserta dari kaum Cina dan India. Malah dikhabarkan 95 peratus dari jumlah peserta terdiri dari orang-orang Melayu walhal isu ini sepatutnya adalah isu kepentingan untuk semua kaum. Tetapi kenapa mereka tidak hadir? Ini persoalan yang ditanya-tanya oleh rakyat.
Menurut perspektif lain, jumlah kehadiran ini memang telah dijangkakan. Ini bukan kerana rakyat prejudis tetapi sejak dari awal lagi niat dan matlamat himpunan adalah kurang jelas.
Kenapa tiba-tiba saja peristiwa di Christchurch itu menarik minat menteri sedangkan umat Islam dibunuh di serata dunia setiap hari seperti di Rakhine, China, Palestin, Selatan Thai dan lain-lain?
Dalam masa yang sama tidak pula kedengaran desakan supaya tindakan yang tegas perlu diambil kepada pembunuh atau kepada mana-mana kumpulan pelampau kulit putih. Tidak ada juga kedengaran laungan supaya barat menghentikan keganasan kepada umat islam di seluruh dunia.

Atau memberi mesej supaya umat islam di negara ini tidak marah dan mengambil tindakan jika sekiranya Islam dihina atau ditohmah kerana kononnya Islam adalah agama kedamaian dan sebab itu kita mesti bersabar?
Jelas, himpunan ini menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan.
Keraguan banyak pihak ternyata terbukti apabila tidak ada apa-apa kesan yang positif terhadap toleransi agama di negara ini. Hubungan antara agama masih tegang.
Umat Islam saja yang dilihat bersungguh-sungguh mempromosikan toleransi agama sedangkan pihak lain tidak kelihatan pula ada kenyataan yang mempamerkan kesediaan untuk memohon maaf ataupun bersedia menerima Islam sebagai agama negara.
Walaupun sudah diwujudkan kementerian yang khusus untuk perpaduan sejak beberapa tahun dahulu namun hasilnya hampir tiada. Malah sekiranya Akta Harmoni yang dibuat oleh kementerian berkenaan yang dicadangkan untuk dibentang dan diluluskan parlimen maka keabsahan kedudukan Islam akan lebih tergugat.
Apakah ini yang dikatakan rahmatan lil alamin?
Kalau sebelum ini mereka sentiasa menuduh himpunan dan demonstrasi oleh NGO sebagai satu agenda politik (walaupun sebenarnya adalah sebaliknya), maka saya juga sangat yakin dan pasti bahawa himpunan solidariti ini yang dianjurkan oleh orang politik sememangnya berunsurkan dan bermotifkan politik.
Mungkin ini adalah tanda-tanda bahawa khidmat menteri agama (Mujahid) sudah berada di penghujungnya.
*AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan