Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi tampil menafikan bahawa pameran lukisan bertemakan kartun animasi Jepun, Doraemon adalah sebagai sebahagian bahan tarikan dan promosi pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).
“Saya tidak pernah meluluskan sebarang gerak promosi membabitkan watak kartun animasi Jepun itu dan ia sama sekali tidak termasuk dalam promosi kita.
“Sebaliknya ia adalah kenyataan peribadi Pengerusi Balai Seni Negara (Rashidi Hasbullah) ketika menghadiri majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), bulan lalu.
“Ia cadangan beliau dan jika perkara itu diangkat kepada saya, saya tidak akan luluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rashidi sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun Doraemon sempena TMM 2020.
Katanya, pameran lukisan berkenaan secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana Doraemon mempunyai ramai peminat di seluruh negara.
Laporan itu kemudiannya menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi, khususnya yang negatif.
Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, jika usaha mempromosi watak karun Doraemon itu benar-benar berlaku, sudah pasti ini akan dijelaskannya pada sesi sidang media prestasi kementeriannya, Isnin lalu.
“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan apa viral di media sosial itu dan saya berharap kenyataan ini dapat memberi gambaran jelas kepada umum.” katanya.
Menurutnya, jika kerajaan mahu mengangkat watak animasi, sudah semestinya beliau akan memilih watak kartun yang popular di Malaysia dan bukannya dari negara lain.
“Saya berharap perkara viral ini tidak lagi diteruskan kerana ia akan mengelirukan orang ramai,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan