“KETUA polis pun sanggup mereka nak scam,” kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkongsi pengalamannya berdepan sindiket penipuan yang menghubunginya menerusi telefon bimbit.
Mohd Khalil berkata, meskipun tidak menjadi mangsa sindiket terbabit, beliau sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan setiap panggilan diterima.
“Oleh kerana kita sentiasa berwaspada dan tahu mengenai cara-caranya (teknik scam), kita kongsikan helah mereka di Facebook (FB) Polis Johor setiap hari, semua pihak boleh dapatkan tips di situ.
“Jadi meskipun mereka hubungi saya tiga kali, saya tidak layan. Saya tidak mahu berbual kerana kalau saya berbual, saya takut saya jadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu akan cuba menakutkan mangsa kononnya sedang disiasat malah beliau sendiri menerima panggilan telefon mengatakan dirinya disiasat.
“Dua kali nombor telefon itu menghubungi saya dan saya akan disiasat polis dan diminta merujuk ke sana (rujuk tempat siasatan).
“Secara fakta, sindiket ini tidak mengira mangsa dan menghubungi secara rawak dan orang ramai perlu berhati-hati dengan tindakan mereka yang menghubungi mangsa melalui telefon bimbit.
“Hari-hari kita (Polis Johor) ada pengadu (menerima aduan) babitkan scam,” katanya.
Sementara itu katanya, banyak kes yang ditularkan di media sosial membabitkan buli dan culik untuk mendapatkan organ dan sebagainya adalah berita dikitar semula.
“Bagaimanapun, ia menyebabkan masyarakat panik dan menyangka ia perkara benar.
“Ia sebenarnya tidak benar dan hanya isu yang dikitar semula,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan