THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang meluluskan rancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menambak laut di perairan selatan negeri ini.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata beliau amat terkejut dan kecewa apabila mendapati bahawa projek itu yang menjadi kontroversi telah diberikan kebenaran untuk meneruskan projek oleh MPFN dengan mengenakan 18 perkara sebagai nasihat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Kami tidak mengetahui bagaimana PSR boleh diluluskan apabila terdapat begitu banyak kebimbangan mengenai kewangan, sosial dan alam sekitar yang amat besar terhadap projek itu, termasuklah kesannya ke atas kehidupan nelayan tempatan yang akan terjejas oleh projek itu.
“Malah kami tidak dapat memahami bagaimana kelulusan untuk PSR diberikan apabila kos tambak laut dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) begitu besar sekali, malah jika dibandingkan dengan ECRL,” katanya.
Beliau yang juga merupakan presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata: “Sebagai contoh, adalah dianggarkan Pan Island Link yang merupakan sebahagian daripada PTMP, akan menelan belanja RM400 juta bagi setiap kilometer jalan berbanding RM68 juta bagi setiap kilometer projek ECRL yang disemak semula.
“Kos yang amat besar bagi PSR dan PTMP yang berjumlah RM46 bilion, tidak dapat diterangkan dan amat mengejutkan dan bagaimana sebarang kelulusan boleh diberikan di bawah keadaan itu amat membingungkan.
“Begitu banyak kebimbangan asas yang telah dikemukakan oleh penduduk yang prihatin dan NGO dan kita tidak tahu bagaimana kebimbangan ini ditangani.
“Oleh itu, kita mahu 18 perkara nasihat itu didedahkan kepada orang ramai supaya orang ramai dapat memahami apakah syarat untuk kelulusan oleh MPFN,” tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan