
GOPENG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019,
Mohammad Ashraf Hassan, 29 yang hilang sejak 23 Mac lepas, akan
dihentikan buat sementara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan permintaan
penduduk yang mahu menjalankan usaha mengesan lelaki tersebut dengan
cara mereka sendiri.
Katanya secara prinsip, Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM) Perak yang terlibat dengan SAR tersebut yang memasuki
hari ke-25, dan polis bersetuju dengan permintaan penduduk.
“Ada permintaan penduduk di sini agar kita keluar
(sementara) dan berikan mereka ruang, masa (mencari) dua tiga hari
kerana ada kes mereka berjaya kesan orang hilang.
“Kita juga akan bincang dengan penduduk mengenai perkara
ini kerana mahu memahami bagaimana operasi pencarian nak dijalankan.
Bomba juga kena bersedia untuk berikan pertolongan sokongan (jika ada
kecemasan),” katanya kepada pemberita selepas melawat pos kawalan
operasi SAR di Kampung Pintu Padang di sini, hari ini.
Pada lawatan tersebut, Zuraida mendengar taklimat operasi
daripada Pengarah JBPM Perak Azmi Osman selama kira-kira 30 minit selain
turut meluangkan masa bertemu keluarga Mohammad Ashraf yang lebih
dikenali sebagai Acap.
Menjelas lanjut, Zuraida berkata sejak operasi dijalankan
hingga kini, seramai 200 anggota bomba telah digerakkan termasuk Unit
Anjing Pengesan (K9).
“Selain itu, seramai 1,000 orang daripada agensi-agensi
lain turut terlibat mencari Acap. Penduduk tempatan yang tahu kawasan
ini juga membantu, begitu juga dengan alim ulama,” katanya.
Sementara itu, Siti Maznah Khamis, 62, menyifatkan kehilangan anaknya sebagai ujian dan dugaan buat mereka sekeluarga.
Sambil menyifatkan sukarelawan yang mencari anaknya sebagai
‘wira tidak didendang’, Siti Maznah menzahirkan terima kasih kepada
mereka kerana tidak pernah berputus asa.
“Kami terima dengan besar hati (bantuan), di mana noktahnya
ini hanya Allah sahaja yang tahu. Kita akan terus berdoa,” katanya.–
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan