Rakyat Malaysia dengan penuh debar menyaksikan perkembangan perseteruan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pihak istana Johor.
Namun, menurut penganalisis politik James Chin, mereka yang mengharapkan klimaks yang dramatik akan kecewa.
Meskipun mengakui kebanyakan rakyat Malaysia bersetuju dengan Dr Mahathir berhubung peranan raja berperlembagaan, Chin tidak menjangka perseteruan itu akan sama seperti 1990-an ketika Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri kali pertama ketika itu mempunyai konflik dengan pihak istana.
Menurut pengarah Institut Universiti Tasmania Asia itu, masa kini sudah berubah.
"Kini kita ada pandangan umum yang serta-merta melalui media sosial..
"Kita hidup dalam era media sosial. Dulu, BN boleh mengawal naratif media arus perdana seperti suratkhabar dan televisyen. Kini, (kerajaan PH) tidak lagi boleh buat seperti itu," katanya kepada Malaysiakini.
Pandangan Chin itu dapat dilihat apabila Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri menggunakan media sosial seperti Twitter dan Facebook untuk menujukan kenyataan kepada Dr Mahathir berhubung isu Statut Rom, projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS) dan pelantikan menteri besar.
Ketika konfrontasi Dr Mahathir dengan golongan raja sebelum ini, media yang dikawal kerajaan dilihat 'menyerang' dengan memperincikan kehidupan mewah golongan raja dan perbelanjaan kerajaan ke atas mereka.
Sementara itu, Chin meramalkan polis akan mengambil tindakan ke atas pihak yang membuat kenyataan 'keras' berhubung perseteruan yang berlaku ketika ini.
"Ada ramai orang di luar sana yang fikir mereka boleh bercakap dengan Dr Mahathir. Tapi mereka tidak akan terlepas. Orang yang bukan daripada golongan raja yang boleh kata apa saja adalah Dr Mahathir," katanya.
Beberapa pihak juga mendakwa Dr Mahathir menggunakan isu berkenaan untuk mengukuhkan kuasa, terutama ketika terdapat kritikan terhadap pentadbirannya berhubung keputusan kerajaan.
Capai kompromi
"Jika ada melihat garis masa, dalam semua kes, Dr Mahathir menjawab soalan wartawan (berhubung perbezaan pandangannya dengan pihak istana).
"Pada dasarnya, kebanyakan sultan mahu melantik menteri besar sendiri. Pada era BN ada masalah sama. Namun (bekas perdana menteri) Najib Razak tidak mahu berdepan (dengan pihak istana).
"Dr Mahathir berbeza. Apabila wartawan tanya dia tentang perkara ini, dia jawab," kata penganalisis itu.
Chin juga yakin Dr Mahathir dan istana Johor akan mencapai persefahaman berhubung jawatan menteri besar.
"Sudah tentu," katanya ketika ditanya.
"Jangan lupa, menteri besar hanya menjadi menteri besar jika dia angkat sumpah depan sultan. Jadi sistem itu akan memaksa mereka untuk berkompromi," katanya.
Jawatan menteri besar Johor kosong selepas Osman Sapian dari Bersatu meletakkan jawatan Isnin lalu.
Pertikaian timbul selepas Tunku Ismail melalui kenyataan di Twitter berkata pelantikan menteri besar adalah di bawah bidang kuasa sultan.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata sekiranya sultan dibenarkan memutuskan jawatan perdana menteri atau menteri besar, Malaysia tidak akan menjadi negara demokratik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan