HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 April 2019

Putrajaya digesa campur tangan henti 2 padang golf dibina di hutan bakau Johor

Tanah lembap dan hutan bakau di Sungai Pulai, Johor. (Gambar 
Facebook)
 
RANTAU: Seorang ahli Parlimen Johor menggesa pihak berkuasa menghentikan pembinaan 2 lagi padang golf di hutan simpan bakau negeri itu, susulan pendedahan sebuah resort golf yang dibuka tahun lalu, dibina atas tanah lembap yang disenaraikan Ramsar.

“Kenapa 800 hektar tanah rizab di Sungai Pulai ditukar menjadi sebuah padang golf?” soal Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang membangkitkan isu pewartaan kawasan itu didakwa ditarik balik, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Katanya, Putrajaya mempunyai tanggungjawab untuk bertindak, walaupun hal berkaitan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Ini ialah contoh sangat buruk. Kerajaan persekutuan tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku lagi,” kata Hassan kepada FMT malam tadi, ketika ditemui di luar program kempen Pakatan Harapan sempena pilihan raya kecil Rantau, Negeri Sembilan.
Sungai Pulai ialah sistem bakau sungai dilindungi yang disenaraikan Konvensyen Ramsar 1971.

Pencinta alam berkata, bakau seluas 9,216 hektar itu membawa keseimbangan sosial ekonomi kepada nelayan dan membantu dari segi perlindungan pinggir laut serta pencegahan banjir.

Sebuah padang golf dan hotel bernilai RM2 bilion yang mula beroperasi tahun lalu, dikatakan turut menceroboh hutan bakau Sungai Pulai.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Hassan, yang kawasan Parlimennya kira-kira 55km dari Sungai Pulai berdekatan Iskandar Puteri, berkata tidak perlu merobohkan padang golf sedia ada kerana kerosakan sudah berlaku.

“Pada masa depan, undang-undang perlu lebih ketat dan pihak berkuasa negeri perlu lebih tegas dan melaksanakan dasar yang mereka rumuskan. Kalau tidak, kenapa ada undang-undang sedemikian?”

Katanya, kerajaan nengeri juga perlu tegas dalam melindungi warisan alam sekitarnya.

“Sama ada kerajaan persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenainya ialah perkara berbeza, tetapi kerajaan negeri perlu tegas.”

Difahamkan, penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi resort itu diluluskan Jabatan Alam Sekitar pada 2 Oktober 2017, tetapi pembinaan padang golf itu bermula kira-kira 3 bulan lebih awal, seperti disenaraikan dalam laman web syarikat itu.

Perbandingan Sungai Pulai berdasarkan laman web Perbadanan Taman Negara Johor dan Google Earth yang dikemas kini 2 Oktober 2018 menunjukkan padang golf dan hotel itu terletak dalam tapak Ramsar.

Putrajaya dilaporkan berkata, ia sedang menyiasat perkara itu, manakala bekas pegawai negeri tidak memberi jawapan jelas berhubung siapa yang menarik balik pewartaan kawasan itu.

Pencinta alam menggesa Putrajaya campur tangan untuk menghentikan Sungai Pulai terus dirosakkan.

Tiada ulasan: