NEGERI Sembilan akan menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang kedua di negeri itu selepas empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor (Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Semenyih) dan satu di Pahang (Parlimen Cameron Highlands). DUN Rantau muncul selepas PRK Parlimen Port Dickson pada September 2018.
Rantau menjadi tumpuan kerana penyandangnya
adalah calon yang juga berprofil tinggi seperti di Port Dickson iaitu
Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
(Tok Mat) yang telah mengetuai kemenangan Barisan Nasional (BN) di
Cameron Highlands dan Semenyih.
Adakah
pertembungan di Rantau merupakan antara bakal Perdana Menteri kelapan
dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan BN?
MB, BEKAS MB
Adakah
Anwar melihat PRK ini akan menguji kekuatan beliau sendiri kerana
kedudukannya sebagai Yang Berhormat (YB) Port Dickson sebagaimana
Semenyih dirujuk kepada referendum Perdana Menteri oleh sesetengah
pihak?
Dengan PKR menguasai kepimpinan
negeri, ia juga menjadi pertembungan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin
Harun dan bekas menteri besar.
Bagi
penulis, PRK tidak boleh dijadikan penanda aras kekuatan mana-mana pihak
kerana ketara berbeza daripada pilihan raya umum sebagaimana dilihat di
Ijok, Sungai Besar dan Teluk Intan sebelum ini.
Tok
Mat kini tidak mempunyai imunasi Pejabat Menteri Besar sebagaimana
jentera kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau. Maka tawaran beliau
adalah pencapaian dan kejayaan di bawah pentadbirannya serta kedudukan
Rembau di bawah wakil rakyat BN, YB Khairy Jamaluddin dan jentera UMNO
berbanding calon PKR, Dr. S. Streram yang akan dibantu oleh jentera
kerajaan negeri dan Pusat serta cabang.
Streram
diberikan peluang kedua atas inisiatif menang di mahkamah menyebabkan
hak beliau sebagai calon jelas pada hari penamaan, Sabtu lalu.
Naratif
isu-isu di PRK DUN Rantau akan sekali lagi melihat putaran isu agama,
etnik, momentum kejayaan di Semenyih dan Cameron Highlands serta untuk
memain peranan semak dan imbang di Negeri Sembilan di mana 20 kerusi
oleh PH dan 16 oleh BN (termasuk Rantau).
‘Janji
lawan Tipu’ akan juga mewarnai PRK ini. Kenyataan YB Nurul Izzah Anwar
yang menyuarakan pandangan secara terbuka ke atas kepimpinan Perdana
Menteri juga akan memberi nilai tambah baharu ke atas isu di PRK ini.
MASALAH DALAMAN PKR
Bagi
PH, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menolak calon; masalah
dalaman PKR negeri apabila enam daripada lapan tidak menyokong menteri
besar; masalah cabang apabila Ketua Cabang Rembau, Thangam menawarkan
diri atau Ketua Wanita Cabang, Bathmavathi sebagai calon yang juga
merupakan isteri beliau.
Ketika
pengumuman dibuat, calon juga dilibatkan dengan soal kewangan sehingga
Ahli Parlimen Segamat, R. Santhara Kumar (PKR) membuat laporan polis ke
atas hutang calon kepada beliau.
Streram yang menetap di Klang, Selangor dikatakan pernah menjadi sukarelawan di Afghanistan dan Sudan.
Bersediakah
juga UMNO dan BN untuk memastikan masalah dalaman seperti PKR boleh
diminimumkan kerana sudah pasti ada yang tidak berpuas hati dengan
ketegasan Tok Mat untuk mengetuai PRK ini dan mengenakan gencatan
tertentu ke atas parti sendiri?
Sebagai
bekas pemain bola, strategi 4-4-2 Tok Mat yang dipakai di dua PRK lain
akan ditukar kepada 4-3-3 barangkali untuk bersifat lebih ofensif dan
game Rantau memerlukan suntikan baharu apatah lagi akan berhadapan
dengan 27%pengundi India dan 21% Cina. Tidak boleh ditolak bahawa king
maker di sini adalah pengundi India.
SURVIVAL
PRK ini bakal melihat survivalitas beberapa perkara, antaranya:
i)
Sentimen atau pencapaian akan menjadi perhitungan pengundi? Jika
sentimen, Tok Mat akan berhadapan dengan persaingan sengit tetapi jika
sumbangan diberikan keutamaan, ia akan kekal status quo. Isu utama
seperti tanah, kebajikan masyarakat ladang, kuil dan pendidikan sekolah
jenis kebangsaan Tamil (SJKT) diselesaikan sewaktu pentadbiran beliau
termasuk di Kampung Pasir dan Kampung Saga.
ii)
Adakah ‘aura’ personaliti Tok Mat akan melepasi paras ‘simpati’ ke atas
Streram? Tok Mat besar keperibadiannya manakala Streram merupakan
individu yang membawa isu ini ke mahkamah dan menang.
iii)
Strategi apakah yang ‘luar biasa’ bagi BN atau PH kerana BN perlu
meneruskan momentum kemenangan manakala PH perlu memulihkan sokongan
selepas dua kekalahan PRK berturut-turut?
iv) Adakah parti atau isu akan mendominasi lebih daripada calon?
v)
Jika calon PKR tewas, adakah impaknya ke atas menteri besar sekarang?
Jika menang, barangkali akan terhakis desakan untuk beliau meletak
jawatan.
vi) Jika calon PKR tewas,
bagaimana kesannya ke atas bakal Perdana Menteri kelapan? Adakah ia
membuka peluang kepada seteru politik beliau untuk menjadikan ia sebagai
‘bahan’ bagi menidakkan apa yang sudah dipersetujui? Jika menang,
adakah ia membuka laluan baharu kepada PKR berbanding kekalahan calon
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Semenyih? Ini adalah ujian
pertama beliau sebagai presiden parti.
vii) Jika calon PKR tewas, bagaimanakah kesannya ke atas pola pengundian etnik Melayu berbanding etnik bukan Melayu?
viii)
Jika calon BN tewas, impaknya kepada struktur dan fasa pemulihan dan
pengukuhan yang sedang dilakukan kerana Tok Mat dikagumi dengan
ketokohan beliau untuk mengemudi parti dari fasa kekalahan lepas. Jika
menang, secara langsung memberi legitimasi moral dan keabsahan politik
kepada kepimpinan beliau.
ix) Jika calon
BN tewas, impaknya ke atas kerjasama UMNO-Pas kerana kerjasama politik
kedua-duanya rancak berlaku atas kewibawaan Tok Mat bagi pihak UMNO dan
BN.
x) Jika calon BN tewas, bagaimanakah kesannya ke atas pola pengundian etnik bukan Melayu berbanding etnik Melayu?
xi) Adakah garis etnik dan agama akan berterusan jika kemenangan berpihak sama ada kepada BN mahupun PKR?
xii)
Adakah sabotaj dalaman akan ketara untuk PKR atau BN kerana
masing-masing memerlukan kemenangan bukan sahaja untuk parti tetapi juga
untuk survivalisme politik dan penyokong mereka?
PRK
ketujuh ini bakal menyaksikan pertembungan yang meletakkan
masing-masing dalam keadaan bergelut untuk setiap pengundi. Strategi
akan diubah untuk memenuhi tuntutan politik angka walaupun tidak
mengubah struktur pentadbiran Seremban mahupun Putrajaya.
Sekali
lagi, peratusan keluar undi dan kumpulan etnik akan menjadi penentu
kemenangan dan ramai pihak memerhati dan yakin kemampuan Tok Mat untuk
mengekalkan status quo dalam berhadapan dengan persaingan daripada
Streram.
Calon PKR ini bergandingan pula
dengan tokoh-tokoh utama parti untuk menjadi giant killer kerana tahu
PRK ini bukan sebarangan tetapi ‘PRK Segala PRK’ 2019.-
*PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan