PUTRAJAYA – Operasi pemusnahan kem penempatan sementara
Wang Kelian, Perlis oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) telah membawa kepada
penemuan kubur di kawasan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian
diberitahu hari ini.
Komandan Kompeni Batalion B PGA Briged Utara DSP M Joeking
berkata pasukannya seramai 30 orang terpaksa menghentikan operasi
pemusnahan yang dilakukan pada 21 Jan 2015 selepas ternampak binaan
seakan-akan kubur.
Saksi kelima RCI itu berkata pasukannya hanya sempat
membakar kanvas khemah dan barangan makanan yang ditemukan di kawasan
itu, manakala struktur penempatan dikekalkan.
“Selain membakar kanvas, anggota kami juga membuat
pencarian di kawasan berkenaan dan operasi pemusnahan dihentikan serta
merta setelah menemui kubur berkenaan.
“Ini bagi memastikan tindakan susulan dapat dilakukan,”
katanya pada prosiding hari kedua pendengaran awam RCI berhubung
penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada
2015.
Susulan penemuan itu, pihaknya telah membuat laporan di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan menyerahkan kes berkenaan
kepada polis untuk tindakan lanjut.
Semasa ditanya siapa yang mengeluarkan arahan pemusnahan
itu, Joeking berkata ia dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis (TKP)
Perlis dalam satu mesyuarat sehari sebelum operasi pemusnahan
dijalankan.
“Saya tanya TKP apa nak buat dengan kawasan itu, dan beliau mengeluarkan arahan untuk memusnahkannya,” katanya.
Joeking berkata beliau menerima arahan tersebut dan memaklumkan kepada Pegawai Pemerintah Medan DSP Silva Ngandam.
Katanya beliau dan DSP Silva bersama 30 anggota naik ke lokasi penempatan keesokan harinya untuk melakukan operasi pemusnahan.
Ditanya sama ada terdapat arahan khusus supaya penempatan
itu dimusnahkan, Joeking berkata tiada tetapi sebagai anggota PGA,
beliau berpandangan langkah berkenaan bagi mengelak kem tersebut
digunakan semula oleh pendatang tanpa izin untuk kegiatan lain.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemusnahan kem
pemerdagangan manusia itu sehari selepas ia ditemui berkemungkinan bagi
menghilangkan bukti yang boleh membantu siasatan pihak berkuasa.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan