Sehari selepas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian
Kemubu (Kada), Senator Husam Musa terus bertindak drastik bagi
menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja di agensi itu.
Malah, beliau mengambil kesempatan dengan mengadakan lawatan mengejut ke beberapa bahagian pengurusan Kada, semalam.
Dalam
catatan ringkas di Facebook semalam, beliau dilaporkan membuat lawatan
ke Pusat Kejenteraan Ladang dan Pusat Latihan Kada yang terletak di
Melor, Kota Bharu.
Difahamkan, sesi lawatan itu dibuat secara
spontan sekali gus sedikit-sebanyak mengejutkan kakitangan pengurusan
agensi berkenaan.
Ketika dihubungi Malaysiakini,
Husam berkata, selepas dilantik beliau mengambil kesempatan untuk
membiasakan diri dan memahami dengan lebih dekat bidang kerja dan
operasi Kada.
"Ya saya membuat lawatan ini sebagai sesi suaikenal
bagi memahami operasi Kada. Saya sempat melawat ke bengkel jentera
pertanian, Kada Resort, Pejabat Kada Kota Bharu Selatan dan Rumah PAM
Kemubu.
"Saya dapati terdapat kuanters dan bangunan Kada Resort
yang terbiar kerana tiada kakitangan yang tinggal di situ dan operasi
Kada Resort sudah diberhentikan.
"Namun tumpuan lawatan saya adalah untuk mengetahui operasi Kada secara lebih dekat," katanya.
Husam
yang juga pengerusi PH Kelantan dilantik ke jawatan itu oleh menteri
pertanian dan industri asas tani dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong
berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Sementara
itu, mengulas mengenai pengoperasian Rumah Pam Kemubu yang terpaksa
ditutup sejak dua minggu lalu katanya, ia kini kembali dibuka untuk
membekalkan air ke kawasan pertanian Kada.
"Dua minggu Rumah PAS
Kemubu terpaksa ditutup kerana air berada di bawah paras 2.9 meter.Kelmarin paras air meningkat pada paras 3.5 meter dan semalam rumah pam
ini kembali dibuka apabila paras air meningkat kepada 4.9 meter.
"Sistem
saliran air dan industri padi akan ditambah baik dan hasrat kementerian
didukung sepenuhnya oleh Kada untuk merealisasikan "our food our
future" dalam usaha memperkasakan program Food Security negara.
"Justeru, pengemblengan tenaga, idea dan kepakaran daripada semua pihak diperlukan bagi menjayakan usaha ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan