PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diminta memberikan bukti menunjukkan Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan paksa.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dakwaan Suhakam akan dianggap khabar angin jika tiada bukti.
“Mereka harus tunjukkan bukti. Saya tidak pasti apakah mereka mempunyai bukti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi PPBM malam tadi.
“Harus diingat, ia tidak berlaku semasa pentadbiran kita. Banyak perkara yang berlaku di pentadbiran dulu, namun tidak didedahkan,” katanya.
Terdahulu, Suhakam mempertanggungjawabkan Cawangan Khas atas kehilangan Amri dan Koh, yang didapati menjadi mangsa kehilangan paksa.
Perkembangan itu membawa kepada seruan supaya Ketua Polis Negara, Fuzi Harun disiasat kerana beliau mengetuai cawangan khas ketika kejadian.
Perdana menteri berkata perkara itu akan diserahkan kepada ketua polis negara baru, menggantikan Fuzi yang akan bersara wajib pada Mei.
“Dia akan bersara, kita akan biarkan dia bersara. Kita akan biarkan ketua polis negara baru yang siasat perkara ini,” katanya.
Amri, seorang aktivis dari Perlis, hilang pada penghujung 2016, sementara Koh dilihat diculik oleh beberapa orang pada siang hari pada Februari 2017.
Amri dituduh menyebarkan ajaran Syiah, tuduhan yang dinafikan isterinya, dan Koh disiasat pihak berkuasa agama kerana didakwa cuba mengkristiankan orang Islam ketika menganjurkan satu acara dihadiri orang Islam di sebuah gereja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan