ISMA WEB
Tuduhan berat, polis kena siasat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia

SELESAI SATU MASALAH! Semalam, ada dua kenyataan
daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang Pedang anggap penting
bagi menjaga keamanan negara, khususnya dari segi pendidikan dan keselamatan.
Pertama, mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), di mana
beliau menegaskan bahawa, hanya kerajaan sahaja yang boleh memberi
pengiktirafan, sama ada menerima pakai atau tidak sijil yang dikeluarkan oleh
sekolah menengah persendirian Cina itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
pengiktirafan dibuat oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia
(LPQB) dipengerusikan Peguam Negara, Tommy Thomas, ke atas UEC bagi menduduki
Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).
Perdana Menteri menjelaskan bahawa pengiktirafan yang dibuat itu
hanya ‘pendapat’ lembaga berkenaan sahaja, sedang pengiktirafan sebenar hanya
boleh dibuat oleh kerajaan.
Susulan kenyataan Tun M itu, Pedang membuat rumusan bahawa
pengiktirafan yang diumumkan Tommy Thomas, Jumaat lalu, terbatal, sekali gus
tidak sah.
Jika LPQB mengguna pakai juga UEC untuk mana-mana lulusan
perundangan menduduki peperiksaan CLP, kemungkinan kelayakan seseorang peguam
akan dipertikaikan jika mereka berada di dalam mahkamah.
Sebab itu, ramai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, ahli
akademik dan pemimpin politik, mengutuk tindakan LPQB mengiktiraf UEC dan menyamakannya
dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), O-Level atau Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM).
Mereka juga berkata, LPQB membelakangkan kerajaan dalam membuat
pengiktirafan itu, selain bertentangan dengan Perlembagaan Negara.
UEC sememangnya menjadi isu yang paling sensitif dan hangat, malah
sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), masing-masing
menjadikan pengiktirafan sijil itu sebagai manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU14) lalu.
Sebagaimana maklum, UEC adalah sijil sekolah menengah persendirian
Cina (SMPC) yang dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina
(MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong, yang tidak ada kaitan langsung
dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, sementara kurikulumnya pula tidak mengikut
Dasar Pendidikan Negara.
Kerajaan juga menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) bagi
menjalankan kajian mengenai sijil berkenaan. Namun, PPDUEC itu dianggap tidak
bebas kerana kelayakan salah seorang daripada tiga individu yang menganggotainya,
iaitu Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing, dipertikai,
disebabkan dia adalah Timbalan Presiden Pertubuhan Persekutuan
Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Pertubuhan ini adalah pengelola UEC, dan sejak sekian lama kuat
mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.
UEC atau Unified Examination Certificate, diwujudkan oleh
Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina (Dong Jiao Zong) sejak 1975, dan
digunakan di sekolah persendirian Cina di Malaysia, di mana silibusnya berasal
dari Taiwan.
UEC tidak pernah diiktiraf untuk memasuki mana-mana institusi
pengajian tinggi awam, kerana bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan
Akta Pendidikan 1996. Namun, sejak Pakatan Harapan memerintah, usaha untuk
mengiktiraf UEC semakin giat dilaksanakan.
Perkara kedua penting yang disebut Tun M semalam ialah berkaitan
tuduhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa, ada kemungkinan polis
Cawangan Khas (SB) terbabit dalam kehilangan paksa seorang paderi, Raymond Koh
dan aktivis sosial, Amri Che Mat.
Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis,
dilaporkan hilang sejak 24 November 2016, sementara Raymond Koh dikatakan
‘diculik’ lelaki bertopeng di Kelana Jaya, Selangor, pada 13 Februari 2017.
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai berkata, kesimpulan
bahawa kes membabitkan Raymond Koh dan Amri adalah berupa kehilangan paksa yang
mungkin membabitkan ejen-ejen kerajaan seperti SB.
Suhakam membuat dakwaan itu berdasarkan inkuiri terhadap kehilangan
kedua-duanya, namun suruhanjaya terbabit tidak mengemukakan bukti.
Lalu, Perdana Menteri meminta Suhakam mengemukakan bukti bagi
membenarkan dakwaan mereka bahawa SB mungkin terbabit dalam kehilangan
kedua-dua individu berkenaan, jika tidak ia hanyalah sekadar ‘dengar cakap
sahaja’.
Bagi Pedang, apa yang disebut oleh Suhakam itu adalah satu tuduhan
berat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang tidak disertakan bukti, yang
boleh mengancam keselamatan negara.
Tuduhan itu boleh menjatuhkan kredibiliti dan ‘memalukan’ polis,
terutama SB, yang menjadi pasukan yang diamanah untuk menjaga keselamatan
rakyat Malaysia, dan menegakkan undang-undang.
Laporan itu bukan setakat berlegar di media massa Malaysia, malah
sudah sampai di luar negara.
Bagi Pedang, PDRM tidak boleh berdiam diri terhadap tuduhan
Suhakam. Laporan polis perlu dibuat supaya siasatan segera boleh dijalankan
terhadap suruhanjaya berkenaan, kerana membuat tuduhan ‘palsu’ tanpa bukti.
Ini sebagai langkah untuk membersihkan nama baik PDRM yang
tercemar akibat tuduhan bahawa ejen-ejen kerajaan, termasuk SB, terbabit dalam
kehilangan paderi dan aktivis sosial berkenaan.
Kata Pedang:…atau polis sendiri pun sudah tak kisah
lagi jika nama pasukan diburukkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan