Dewan Rakyat hari ini dijangka meluluskan usul menggantung tugas Najib Razak
(BN-Pekan) sebagai ahli parlimen selama tiga bulan kerana melakukan suatu
perbuatan menghina majlis Dewan Rakyat.
Najib didakwa melanggar embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian
Felda dengan memuat naik sebahagian daripada kandungan itu di halaman
Facebooknya.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul, usul penggantungan akan
dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Bahawa pada hari Selasa, 9 April 2019, 5.39 petang, Yang Berhormat Pekan,
Najib Razak, mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7,
muka surat 8, Lampiran 1 - Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA di
akaun media sosial Facebook beliau ‘Najib Razak’.
“Kertas Putih berkenaan adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam
Embargo sehingga 11.30 pagi, Rabu, 10 April 2019,” katanya.
Menurut usul berkenaan, Dewan Rakyat memandang serius perbuatan Najib yang
melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.
“Maka inilah dipersetujui bahawa Pekan (Najib) hendaklah digantung daripada
tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama tiga bulan," katanya.
Mengikut tatacara dewan, usul berkenaan akan disokong oleh seorang Ahli
Parlimen sebelum Speaker mengeluarkan arahan menguatkuasakan perintah
penggantungan.
Bekas Perdana Menteri itu tidak hadir sepanjang persidangan dewan
semalam.
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Rakyat akan berakhir hari ini manakala
Mesyuarat Kedua dijadualkan bermula pada 1 hingga 18 Julai depan.
Sementara itu, Bernama melaporkan
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata beliau telah
mengemukakan satu usul supaya Najib Razak dikenakan tindakan keras
kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah
Persekutuan (Felda).
Beliau berkata usul itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pagi tadi.
“Persoalannya,
bagaimana seorang bekas perdana menteri boleh melakukan kesalahan
begitu, membocorkan dokumen yang di embargo sehingga pagi ini tetapi
telah dibocorkan petang semalam.
“Sebab itu awal pagi ini, saya
telah kemukakan usul kepada Speaker supaya tindakan keras diambil
terhadap Yang Berhormat Pekan. Ini satu kesalahan besar,” katanya ketika
menggulung perbahasan Kertas Putih berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu,
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) membangkitkan mengenai
tindakan Najib melanggar Peraturan Mesyuarat 95A, berhubung dokumen
embargo yang tidak boleh disiarkan dengan apa cara sekali pun sebelum
dibentangkan.
“Adakah menteri (Mohamed Azmin) sedar beliau (Najib)
telah memasukkan sebahagian dokumen embargo ini di Facebook sekitar jam
6 petang semalam,” soal Ahmad Fahmi ketika mencelah penggulungan
perbahasan itu.
Mohamed
Azmin dalam penggulungan itu turut menjelaskan dakwaan Pinjaman Sara
Hidup dan bantuan Pendahuluan Hasil akan dikurangkan daripada RM1,500
kepada RM1,000 adalah tidak benar sama sekali.
“Ini
adalah propaganda Umno menjelang (Pilihan Raya Kecil) Rantau. Saya
telah umumkan pagi tadi (semasa pembentangan Kertas Putih) kadar sedia
ada dikekalkan iaitu RM1,500,” katanya.
Dalam pada itu, Kertas
Putih bertujuan memberi penjelasan mengenai isu dihadapi Felda serta
pelan pemulihannya yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini kemudian
diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat.
Kertas Putih itu
antaranya menyatakan kerajaan Pakatan Harapan bersetuju memberi bantuan
kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda, berbentuk geran, pinjaman
dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan