Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa berhenti daripada terlalu kerap bermain politik dan fokus kepada usaha pengukuhan ekonomi.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata kenyataan pakar ekonomi jelas menunjukkan kebimbangan mengenai kedudukan ekonomi negara yang tidak menentu.
“Kedua-dua artikel dari Bloomberg dan kenyataan dari FTSE Russell memberi penekanan terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang telah menyebabkan hakisan keyakinan pelabur.
“Seperti yang banyak kali saya sebutkan, ini bukanlah mengejutkan kerana sehingga kini masih belum ada hala tuju jelas kerajaan Pakatan Harapan dalam pengurusan ekonomi negara walaupun sudah hampir setahun mengambil alih pentadbiran.
“Kereta terbang, lapangan terbang Kulim yang jaraknya sangat berdekatan dengan lapangan terbang Pulau Pinang dan sekadar ‘rebranding’ program kerajaan terdahulu adalah contoh bagaimana tiadanya pelan perancangan ekonomi yang stabil dan kukuh bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” ujarnya melalui kenyataan di Facebook pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata selain rakyat, pelabur juga sudah bosan dengan alasan ‘ini semua salah Barisan Nasional (BN)’.
“Bloomberg sebelum ini telah memberi gelaran ‘sore loser’ kepada KLCI selepas menjadi satu-satunya pasaran saham di Asia yang mencatatkan penurunan sejak tahun 2019 bermula.
“Berdasarkan artikel terbaru Bloomberg ini, pasaran saham Malaysia telah jatuh sebanyak 3.5% sejak PRU14 dan merupakan ‘worst major market in the world so far this year’. Untuk rekod, kejatuhan pasaran saham pada kali ini adalah yang terburuk sejak tahun 2016.
“Selain itu, sejumlah lebih RM2 bilion pegangan saham oleh pelabur luar telah dilepaskan untuk tahun 2019 sahaja dan KLCI dijangka akan terus dalam keadaan lembap dan tidak memberangsangkan sehingga tempoh 2020,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan