HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Mei 2019

ANWAR TIDAK KONSISTEN – HADI

 

Kenyataan ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu dikenali sebagai pemimpin negara yang berpegang teguh kepada Islam apabila menjawat jawatan nombor satu negara kelak disifatkan sebagai tidak konsisten, ujar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata Anwar ibarat pelakon apabila kenyataan diucapkan beliau dilihat berubah-ubah mengikut keadaan seperti yang dilihat dalam majlis sebelum ini dengan ada di antaranya membabitkan adegan menari.

“Itu gambaran dan rakyat melihat. Di tempat orang Islam dia begitu manakala di majlis sambutan Deepavali, cara Deepavali dan sambutan Hari Krismas, cara Krismas.

“Saya tak perlu komenlah, cukuplah dengan apa yang dia (Anwar) lakonkan itu,” katanya kepada media selepas kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Terengganu pada Jumaat.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR meluahkan hasrat untuk dikenali sebagai pemimpin negara yang memiliki keyakinan teguh terhadap Islam apabila memegang jawatan Perdana Menteri kelak.

Beliau juga berharap untuk menjadi pemimpin yang sangat prihatin terhadap orang bukan Islam.

Hasrat itu dinyatakan dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Kolej Dar al-Hikmah (KDH) di ibu kota Kuala Lumpur.


Tiada ulasan: