HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Mei 2019

Haramkan Mercun Dan Meriam Buluh ?

Oleh Mohd Sayuti Omar


Berita dari Jertih Terengganu seorang pelajar tingkatan satu yang parah pergelangan tangan dan kesemua jari kanannya hancur kerana angkara mercun, merupakan berita menyedihkan di pertengahan Ramadhan ini.

Peristiwa atau kejadian seperti itu seakan wajib berulang setiap kali menjelang Hari Raya.
Pelajar itu dilaporkan bermain mercun bola, dan gagal untuk melontarnya kemudian meletup dalam genggamannya. Kelima jarinya hancur. Kudung.

Kita percaya kejadian itu bukan pertama dan terakhir untu raya edisi 2019 ini. Selepas ini pasti akan ada lagi kejadian yang perit untuk didengar itu.

Walaupun kejadian itu berlaku setiap tahun, tetapi ia seakan tidak pernah menyedarkan kita semua. Kita anggap kejadian itu sebagai suratan takdir yang tidak boleh dielakkan?

Sebenarnya kejadian itu boleh dielak. Ia perlu dielakkan. Raya tidak akan terjejas tanpa ada kejadian itu. Kejadian itu kerana mercun. Raya tetap akan meriah kalau pun tidak ada mercun. Lagi pun mercun itu bukan termasuk rukun dalam menyambut hari raya.

Justeru, sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa bertegas menguat kuasakan undang-undang agar mercun dan apa-apa sejenis dengannya dilarang sama sekali. Ini termasuk juga larangan meriam buluh, bunga api dan sebagainya. Apa-apa bahan yang boleh digunakan untuk mereka meriam juga perlu diharamkan.

Pihak berkuasa jangan hanya setakat membuat seruan dan memberi nasihat mengenai bahaya mercun dan meriam buluh. Tetapi tindakan tegas perlu diambil. Mungkin kanak-kanak tidak "lut" dan munasabah untuk dikenakan tindakan. Tetapi ibu bapa dan penjaga mereka boleh dipertanggungjawabkan.

Mungkin apabila berkuatkuasa larangan dan adanya hukuman, selepas ini kejadian seperti menimpa pelajar di Jertih itu tidak akan terdengar lagi. Trims.
 
 

Tiada ulasan: