Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada menteri yang ditegur sebagai masih gagal menyerlah untuk memikirkan tindakan sepatutnya selepas ditegur Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin.
Kata Muhyiddin beliau bersetuju dengan pandangan diberikan Kadir beberapa hari lalu walaupun ia bersifat peribadi dan bukan atas kapasiti sebagai penasihat media Dr Mahathir Mohamad.
Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri menjelaskan beliau sendiri tidak tahu siapakah menteri yang dimaksudkan Kadir dalam hantaran di blognya pada 21 Mei lalu.
“Itu pandangan seorang pengamal media, walaupun dia (Kadir) dari Bersatu, tetapi kita serah kepada individu yang dimaksudkan beliau (untuk membuat keputusan), yang saya sendiri tidak tahu siapakah yang dimaksudkannya.
“Tetapi, kalau saya, saya berhentilah,” katanya kepada pemberita selepas program Penerapan Nilai Murni di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Kadir dalam catatannya berkata masa setahun yang diberikan kepada menteri, menteri besar atau ketua menteri PH mungkin sekejap bagi mereka, namun terlalu lama untuk rakyat yang membuat penilaian.
Justeru kata bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu, mereka wajar memikirkan kedudukan masing-masing.
“Jika ada yang masih merangkak dan meraba-raba setelah setahun diberi peluang dan tanggungjawab, maka adalah kewajipan kita meminta mereka memikirkan semula kedudukan mereka.
“Mungkin tidak kepada penjawat tetapi bagi rakyat jelata yang menaruh harapan, ia mungkin macam selama-lamanya,” katanya.
Pada masa sama Muhyiddin mengakui kuasa menggantikan seseorang menteri terletak pada Mahathir selaku perdana menteri.
“Ini adalah hak prerogatif perdana menteri, nak ambil apa-apa langkah dan tindakan, terserah pada perdana menteri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan