HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Mei 2019

PUTRA bukan penyebab orang Melayu berpecah

Nizam Zain
Datuk Dr Ibrahim Ali
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali ketika melancarkan borang keahlian PUTRA di Hotel Putra, Kuala Lumpur. foto NIZAM ZAIN
 

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hari ini menegaskan perpecahan orang Melayu dan bumiputera bukan disebabkan oleh wujudnya banyak parti politik khususnya parti serpihan di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali sebaliknya berkata, perpecahan itu sebenarnya berpunca daripada kegagalan UMNO dan Pas menyatupadukan orang Melayu di dalam dua parti terbesar itu sejak mula ditubuhkan.

“Kalau kita berpendapat undi Melayu ini pecah kerana banyak parti, jadi eloklah parti-parti Melayu sedia ada sebelum ini pilih mana satu untuk dikekalkan, yang lain semua bubar.

“Contohnya bubar Pas, semua masuk UMNO, ataupun bubar UMNO, semua masuk Pas. Kita pun boleh henti kat sini parti PUTRA ini.

“Kalau bercakap atas dasar banyak parti, pecah undi, banyak parti tidak mengapa. Kalau sama-sama bersikap terbuka, bertolak ansur, duduk semeja, merancang strategi yang boleh memberi kemenangan kepada semua parti ini atas dasar prinsip menang-menang.

“Kalau ada parti-parti bersikap tamak dan merasakan mereka telah lama, kuat, segala-galanya hak mereka tetapi pada masa sama mereka bercakap soal perpaduan, ini pada saya hipokrit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi PUTRA Kali Pertama di Hotel Putra hari ini.
Datuk Dr Ibrahim Ali
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk 
Paduka Dr Ibrahim Ali (tengah) bercakap kepada pemberita 
pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli 
Dewan Tertinggi PUTRA Kali Pertama di Hotel Putra, di sini, 
hari ini. foto NIZAM ZAIN
Beliau mengulas kritikan pelbagai pihak sejurus selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan pendaftaran PUTRA pada 8 Mei lalu yang parti itu bakal memecahkan undi orang Melayu pada pilihan raya akan datang.

Ibrahim juga menyifatkan pemimpin parti politik Melayu tidak belajar daripada pilihan raya lalu apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan kerana orang Cina boleh bersatu dalam DAP.

“Kaum Cina pun ada banyak parti, ada DAP, MCA dan Gerakan dan India pun banyak parti tetapi kenapa kaum Cina boleh bersatu, 95 peratus orang Cina mengundi DAP. Kenapa orang Cina tak mengundi Gerakan dan MCA?” soalnya.

Dakwa Ibrahim, orang Cina boleh bersatu dan memberi undi sebulat suara kepada DAP hanya kerana parti itu memperjuangkan kepentingan kaum Tiong Hua.

“Orang Cina bergabung dengan DAP sebab DAP jelas dan nyata mereka memperjuangkan agenda Malaysian Malaysia, mereka meneruskan agenda cauvanisme mereka.

“Buktinya tengok bagaimana mereka mempertahankan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), bagaimana mereka nak UEC diiktiraf, bagaimana mereka nak dasar ekonomi disamaratakan, walaupun majoriti kaum bumiputera masih ketinggalan di belakang.

“Kita tengok bagaimana mereka menuntut undang-undang dimansuhkan, jadi semua ini membuktikan mereka bertindak memperjuangkan agenda kaum orang-orang Cina, yang menyebabkan orang Cina bersatu dalam DAP,” katanya lagi.

Ibrahim turut melahirkan rasa terkilan apabila UMNO dan Pas gagal mengembalikan kegemilangan mereka di mana suatu ketika dahulu orang Melayu bersatu dalam dua parti terbesar ini.

“Kenapa orang Melayu tidak bersatu dalam UMNO, mengapa orang Melayu tidak bersatu dalam Pas, dulu orang Melayu bersatu dalam UMNO tetapi daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya berlaku hakisan sokongan terhadap parti UMNO.

“Pas kekal selama mana adanya UMNO, kerana Pas juga lahir daripada tulang rusuk UMNO tapi prestasinya dari dulu sampai sekarang tidak berubah walaupun dia ada penyokong tegar, walaupun ceramah Pas dihadiri oleh ribuan orang tetapi keadaannya sama juga.

“Daripada segi masa depan pula, mereka nak bersatu selepas PRU14 ini nak cari jalan nak bekerjasama, ini semua satu harapan yang belum lagi jadi kenyataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: