HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Mei 2019

Tak mahu budaya kiriman kad raya lenyap

Ahmad Ismail.
 
 

SEGAMAT: “Saya sanggup rugi kerana tidak mahu budaya mengirim kad ucapan hari raya ini terus dilupakan,” kata pengusaha kedai buku, Mohd Nor Ali, 69, ketika berkongsi memori menjual kad raya.

Katanya, akibat perkembangan teknolog,i budaya mengirim kad hari raya kepada ahli keluarga atau kenalan kini sudah tidak lagi popular.

Jelasnya, penurunan permintaan terhadap kad hari raya mula dirasai sejak tujuh tahun lalu dan kini ia semakin dilupakan.

“Kalau pelanggan yang tanya pun boleh dikira dengan jari. Perkembangan teknologi telefon pintar menyebabkan kad ucapan ini sudah tidak dipandang atau diminati orang ramai.

“Saya pernah jual kad ucapan bawah paras harga lantai semata-mata mahu menghidupkan budaya mengirim kad yang kian pudar, namun kesannya tidak memberangsangkan dan masih gagal mendapat sambutan.

“Bagi saya kad raya lebih bernilai tinggi kerana sentuhan kata-katanya. Paling bermakna perasaan seseorang itu ketika mengirim dan menerima kad ucapan berkenaan,” katanya ketika ditemui di kedai diusahakan di Jalan Aji Segamat, di sini, semalam.

Dia yang sudah hampir 40 tahun berniaga berkata, kad hari raya turut mengalami transformasi membabitkan aspek ukuran dan reka bentuk.

“Paling menarik apabila dilengkapi alat elektronik mengalunkan lagu raya, tapi itupun tidak mampu bertahan lama.

“Ada pihak menyalahkan telefon bimbit, alat elektronik itu dikatakan punca kad hari raya semakin kurang mendapat sambutan dan mungkin ada kebenarannya,” katanya.

Menurutnya, ucapan dalam kad raya ditulis sendiri menggunakan tangan oleh pengirim, malah proses menghantarnya juga memerlukan kesabaran tinggi.

“Selepas selesai tulis ucapan kad kena dimasukkan ke dalam sampul, kemudian ke pejabat pos, terpaksa beratur semata-mata untuk beli setem dan barulah dikirim ke alamat penerima,” katanya.

Tiada ulasan: