Suspek menyamar rakan mangsa di laman sosial, kerugian RM11,800
Gambar hiasan.
KEPALA BATAS– Seorang guru wanita dan seorang lelaki kerugian
RM11,800, selepas ditipu sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud menerusi
laman Facebook, serta individu yang menyamar sebagai rakan mangsa untuk
meminjam wang.
Ketua Polis Daerah
Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 59
tahun itu membuat laporan polis ditipu sindiket berkenaan semalam, selepas guru
berkenaan kerugian RM6,800 akibat penipuan sindiket berkenaan.
“Mangsa telah melihat satu
iklan di laman Facebook yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar segera dan
mahu membuat pinjaman sebanyak RM60,000, akibat percayakan agensi pinjaman wang
itu guru berkenaan telah membuat bayaran sebanyak RM6,800 untuk wang proses dan
kos pinjaman,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, wanita itu gagal
menghubungi sindiket berkenaan selepas memindahkan bayaran dan membuat laporan
polis berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, manakala
seorang lagi mangsa iaitu pekerja swasta berusia 29 kerugian kerugian RM5,000,
selepas diperdaya anggota sindiket baharu yang telah menyamar sebagai rakan
mangsa untuk meminjam wang.
Noorzainy berkata, lelaki
itu yang yakin dengan penjelasan suspek yang mengaku sebagai rakannya
menyerahkan wang secara pindahan ke dalam akaun suspek, selepas diyakinkan oleh
dia akan membayar semula dalam masa terdekat.
“Namun, mangsa hanya
menyedari dia ditipu selepas menghubungi rakannya yang sebenar, dan dia
mendakwa tidak pernah berhubung dengan lelaki berkenaan untuk meminjam wang.
Pekerja swasta itu membuat laporan polis semalam,” katanya.
Dalam perkembangan
lain,katanya, polis menahan sembilan lelaki kerana terlibat dengan kegiatan
pengedaran dadah dalam dua serbuan di Jalan Teratai, Butterworth dan Bumbong
Lima di sini, semalam.
“Dalam serbuan pertama di
Jalan Teratai, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas
heroin bernilai RM1,500 dipercayai untuk dijual di sekitar kawasan berkenaan,”
katanya.
Beliau berkata, manakala
serbuan di Bumbong Lima, polis menahan lapan lelaki berusia 17 hingga 39 tahun
dan merampas 34.3 gram heroin bernilai RM2,000. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan