HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Jun 2019

Hukuman penjara sepatutnya pilihan akhir, kata aktivis reformasi undang-undang dadah

Perlu diwujudkan garis panduan berhubung hukuman yang 
dijatuhkan seperti yang diamalkan di United Kingdom.

PETALING JAYA: Seorang aktivis reformasi dasar mengenai dadah menyuarakan kebimbangan berhubung hukuman 12 bulan penjara yang dikenakan ke atas remaja berusia 17 tahun di Marang, Terengganu kerana ketagih ketum.

Peguam Samantha Chong berpendapat hukuman penjara sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

“Jika beliau menghadapi masalah penggunaan dadah, saya percaya rawatan dan kaunseling adalah baik.

“Penjara seharusnya menjadi pilihan terakhir,” katanya kepada FMT.

Chong diminta memberi komen berhubung hukuman yang dijatuhkan ke atas Ahmad (bukan nama sebenar) selepas beliau mengaku bersalah memiliki 1kg daun ketum tahun lepas.

Bernama melaporkan remaja 17 tahun itu memperoleh keputusan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Chong berkata, apabila kanak-kanak menggunakan dadah, wujud faktor penyebab lain, misalnya kemurungan, kebimbangan, gangguan stres pasca trauma (PTSD), masalah keluarga dan pemencilan sosial.

“Dalam kes ini jelas beliau berasa keseorangan dan berikutan itu bercampur dengan kawan yang salah.

“Jelas juga beliau tahu dadah adalah satu kesalahan. Tetapi kerana pengaruh rakan sebaya dan keperluan untuk melepaskan diri daripada kesunyian serta kesakitan emosi, beliau akhirnya menggunakan dadah,” katanya.

Chong berkata, tidak memadai hanya dengan berkata tidak, mangsa perlu dibantu dalam mengisi masa mereka dengan aktiviti berfaedah.

Akses kepada sokongan kesihatan mental juga perlu diperluaskan dan dipermudahkan, katanya.
Selain itu kata beliau, perlu diwujudkan garis panduan berhubung hukuman yang bakal dijatuhkan seperti yang diamalkan di United Kingdom.

“Garis panduan hukuman merupakan standard yang disediakan bagi melahirkan amalan penghukuman yang rasional dan konsisten,” katanya.

Katanya terdapat banyak kes seperti yang dihadapi Ahmad tetapi tidak dilaporkan.

“Kanak-kanak begitu biasanya terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan dan ketagihan dadah.
Persoalannya ialah bagaimana kita mahu pecahkan kitaran itu?“

Walaupun mereka tidak akan mempunyai rekod jenayah, namun menempatkan kanak-kanak di penjara adalah seumpama memasukkan berus gigi ke mangkuk tandas. Biar berapa kali kita mencucinya selepas itu, keadaannya tidak akan sama lagi.

“Ini kita namakan stigma,” kata beliau.

Ahmad dilaporkan menyesali perbuatannya itu terutama sekali kerana beliau merupakan seorang pelajar contoh ketika belajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bahru, Kelantan.

Beliau dilaporkan berkata, perasaan sunyi mendorongnya berkawan dengan beberapa individu sebaya yang mahu bercakap dengannya.

Ahmad mengaku keadaan yang dihadapinya sekarang merupakan salah dirinya sendiri.

Tiada ulasan: