HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Jun 2019

TUN MAHATHIR SEDANG MENGUMNOKAN SEMULA KERAJAAN?


Shahbudin Husin



Selain ingin menyingkirkan Najib Razak, keinginan lain rakyat Malaysia dengan mereka bersatu hati memenangkan PH dalam PRU14 lalu ialah bertujuan untuk menjatuhkan UMNO dan BN.

Setelah berkuasa lebih 60 tahun secara berterusan sejak merdeka, majoriti rakyat merasakan sudah sampai waktunya tempoh pemerintahan BN perlu diberikan titik penamat.

Dengan gaya angkuh pemimpin UMNO mentadbir negara, sedangkan yang kaya raya hanya keluarga, kerabat dan kroni, dirasakan hanya perubahan kerajaan dapat menazahirkan pembelaan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.

Yang paling membosankan ialah oleh kerana UMNO merupakan “abang besar” dalam BN, pemimpin dan orang UMNO seolah-olah merasakan negara ini hanya kelompok mereka yang punya.

Yang menjadi Perdana Menteri pula, dianya seolah-olah bebas melakukan apa saja, waima secara sendirian dan tanpa berunding dengan sesiapa dalam banyak perkara, termasuk melonggokkan kekayaan kepada anak dan juga menantu.

Lantaran itu, terlalu banyak berlaku kerosakan berlaku dalam negara sejak merdeka dan hanya mereka yang rapat serta selalu berdamping dengan Perdana Menteri saja memperolehi laba daripada kekayaan negara.

Sejak Anwar Ibrahim mewujudkan gelombang reformasi pada 1998, keinginan gabungan alternatif itu adalah bertujuan menyediakan keseimbangan dalam pentadbiran negara, kekayaan negara harus dinikmati secara saksama oleh rakyat jelata serta tidak menjadikan sesiapa yang memegang jawatan Perdana Menteri terlampau berkuasa dalam negara.

Bermula dengan BA, kemudian PR dan seterusnya PH, tujuan dan matlamat itulah yang dibentang dan ditawarkan kepada rakyat kerana disedari Perdana Menteri yang terlalu berkuasa dan bebas melakukan apa saja, lebih cenderung membawa kerosakan daripada kebaikan.

Rakyat memilih PH dalam PRU14 bukanlah sangat kerana Tun Mahathir Mohamad, tetapi lebih disebabkan yakin bahawa PH adalah wadah yang lebih baik dan berbeza berbanding BN.

Pengundi juga percaya, Tun Mahathir dibawah PH adalah berbeza dengan Tun Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dibawah BN dahulu. Itulah asasnya mereka mempercayai beliau untuk dijadikan Perdana Menteri buat kali kedua.

Ini kerana PH mengutamakan perbincangan serta muafakat dan apa-apa perkara perlu dimuafakati melalui Majlis Presiden terlebih dahulu yang sejak awal terlihat begitu kerap mengadakan mesyuarat berbanding Dewan Tertinggi BN sebelumnya yang hanya bermesyuarat hanya sekali dua saja dalam setahun.

Dengan kerapnya Majlis Presiden bermesyuarat dan memutuskan semua perkara melalui perundingan, secara tidak langsung telah menerbitkan keyakinan kepada rakyat bahawa PH adalah jauh lebih baik berbanding BN.

Itulah teras asas mengapa rakyat memilih PH berbanding BN dalam PRU14 lalu.

Malangnya, setelah menjadi Perdana Menteri, walaupun hanya dengan 13 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Bersatu, Tun Mahathir secara perlahan-lahan lupa tentang wadah yang menaunginya sebagai ketua kerajaan.

Beliau mula kembali kepada perangai lama ala diktator dengan mahu mencatur semua perkara dan menguasai segala-segalanya.

Bermula dengan melantik Azmin Ali sebagai menteri walau tidak dicalonkan oleh PKR, membakul-sampahkan janji manifesto dengan mengatakan Buku Harapan bukan kitab suci, memberi banyak peranan kepada Tun Daim Zainuddin dalam hal ehwal kerajaan, terutama berkaitan perjanjian kontrak mega dengan China dan terbaru, sekali lagi menodai janji pilihanraya dengan melantik Latheefa Koya sebagai KP SPRM, Tun Mahathir jelas mahu mentadbir negara ini ala Presiden UMNO.

Itu belum lagi termasuk janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim yang cuba dilengah-lengahkan dan tidak mustahil sedang dirancang untuk dimungkiri serta sebelum ini cuba mengekalkan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC, meskipun setelah meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.


Mujurlah, selain pembangkang, pelbagai pihak dalam PH turut bersuara yang mana akhirnya Tun Mahathir terpaksa akur menyerahkan kembali jawatan Pengerusi PAC itu kepada UMNO dengan Noraini Ahmad dilantik sebagai penggantinya.

Terlihat dari semasa ke semasa, Tun Mahathir memang cenderung untuk memungkiri dan menodai banyak janji PH kepada rakyat serta mahu meletakkannya berkuasa semutlak diktator mentadbir negara ini.

Tetapi Tun Mahathir harus sedar, dalam era Malaysia Baru pimpinan PH ini, negara semestinya ditadbir berbeza dengan gaya UMNO dalam era BN dahulu.

Ia adalah kemahuan sebenar rakyat dan jangan sesekali dilupakan.

Untuk menghentikan kerakusan Tun Mahathir kerana tidak mustahil banyak lagi cubaannya untuk mengUMNOkan cara memerintah negara ini, Majlis Presiden dan pemimpin-pemimpin utama PH haruslah tidak gentar bersuara membendungnya mulai sekarang sebelum segala-galanya sudah menjadi bubur.

Negara ini, walaupun bukan lagi dikuasai UMNO, nampaknya ia harus diselamatkan sekali lagi daripada diUMNOkan oleh Tun Mahathir.

Tiada ulasan: