HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Julai 2019

Bila Kit Siang nak pencen?

fazleen safina 

 

Hutang berlambak, Tun M tak akan serah jawatan kepada Anwar

BANGI– Bila Lim Kit Siang akan bersara? Demikian soalan yang dibangkitkan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu mempersoalkan perkara demikian ketika mengulas mengenai pemimpin veteran DAP, Kit Siang yang mengugut akan bersara daripada dunia politik, sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melantik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Tetapi dalam temubual Tun M dengan CNBC di Bangkok selepas PRK Sandakan, Tun secara terbuka kata dia perlukan tiga tahun pula sebelum serahkan tugas kepada Anwar.

“Tiga tahun? Sebelum itu janji dua tahun. Kemudian Tun tambah lagi syarat yang menggerunkan Anwar, iaitu dia mahu selesaikan hutang negara terlebih dahulu sebelum berundur,” soalnya dalam satu kenyataan.

Puad berkata, ianya mustahil untuk perdana menteri meletak jawatan berikutan hutang negara yang kian bertambah dan tidak mungkin boleh diselesaikan.

Katanya, hutang negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meningkat kepada RM793.4 bilion pada Jun 2019, berbanding RM686.8 bilion pada akhir 2017, iaitu ketika tampuk pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kalau begitu, bila Lim Kit Malam (Siang) akan umum persaraan beliau? Beliau tidak akan bersara kerana semua pemimpin PH ada DNA pembohong,” katanya.

Terdahulu, Kit Siang mempersoal sama ada kembalinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO, bertujuan memperbaharui parti itu atau sekadar menjadi proksi untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Zahid semalam mengumumkan akan memulakan semula tugas-tugas yang ditinggalkan selepas menghadapi 87 pertuduhan jenayah pertama.

“Adakah Zahid kini memimpin UMNO untuk menunjukkan bahawa pemimpin UMNO sudah menyesal dan bertaubat?

“Atau kembali selepas bercuti semata-mata tiada lain kerana ‘Bossku’ dengan dia memainkan peranan sebagai proksi “Bossku” kerana Najib rasa dia mungkin hilang kawalan UMNO,” soal Kit Siang.

Mengulas lanjut, Puad berkata, Kit Siang adalah pemimpin PH paling awal melatah apabila Zahid kembali bertugas.

“Najib tidak perlukan proksi dalam UMNO. Platform ‘Bossku’ sudah mencukupi kepada Najib untuk terus mendampingi ahli UMNO.

“Bahkan ‘Bossku’ juga adalah platform yang memberi ruang lebih luas kepada Najib untuk mendampingi rakyat biasa, atas pagar, bukan Melayu dan anak muda,” katanya.


Tiada ulasan: