PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tidak wajar untuk pihak lain mempertikaikan keputusannya kembali menjalankan tugas sebagai Presiden parti kerana jawatan itu disandang melalui pemilihan.
Beliau berkata, pandangan segelintir pihak yang tidak senang dengan tindakannya menerajui semula parti dan mahu keputusan itu dirujuk kepada Majlis Tertinggi UMNO adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Ramai yang menekan saya termasuk yang di dalam dewan ini (perwakilan) dan di luar dewan ramai lagi. Berhentilah sebagai Presiden...(malah) yang kalah (bertanding) jadi Presiden pun kata berhentilah jadi Presiden.. dah kalah kalah lah... yang kamu gila talak pasal apa?
“Yang saya balik ni bekerja balik (dari cuti) dia kata perlu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi.Masa saya kata hendak cuti tidak pula kata perlu bincang di MT.
“Ini hak saya kerana saya dipilih sebagai Presiden UMNO yang sah,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Tambun di Bangunan UMNO Perak hari ini.
Ahmad Zahid pada 30 Jun lalu mengumumkan kembali menyambung tugas sebagai Presiden UMNO selepas menyerahkan tugas Presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Disember lalu.
Pada hari yang sama, bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, MT perlu memberi pandangan sekiranya Ahmad Zahid kembali menerajui UMNO.
Ahli Parlimen Rembau itu dilaporkan berkata demikian sebagai tanda tidak bersetuju dengan pendapat bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa Ahmad Zahid bebas untuk kembali tanpa perlu mendapat persetujuan MT.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO tetap menegaskan tidak akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagaimana saranan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohammad.
“UMNO tidak akan pernah mahu menyertai BERSATU, ini pendirian tegas dan dinyatakan dalam media.
“Kalau tak mahu perpecahan berlaku (tetapi) kerana salah satu parti yang wujud (mengakibatkan perpecahan) adalah BERSATU dan AMANAH (Parti Amanah Negara) ....bubarkan BERSATU dan AMANAH sepatutnya bukan bubarkan UMNO... kita (UMNO) parti besar,” katanya.
Beliau berkata, UMNO tetap bertegas untuk menolak kerjasama bukan hanya membabitkan tokoh tetapi juga parti yang secara terang bekerjasama dengan parti yang mengetepikan kepentingan orang Islam dan mahu melaksanakan konsep Malaysian Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan