HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Julai 2019

Kes Adib tak pula dibincang seperti Wan Ji?

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Nak jadi negara republik kah sibuk bela pesalah: Aminuddin


BANGI – Tindakan mempertikai dan membela hukuman penjara ke atas aktivis Islam liberal, Wan Ji Wan Hussin hanya akan memberikan gambaran yang tidak baik kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia Isma, Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau sehingga kini tidak pasti apa yang ingin dibincangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hukuman ke atas Wan Ji, sedangkan ia sudah diputuskan mahkamah.

Beliau berkata, tindakan Anwar mempertikaikan hukuman itu dilihat seolah-olah Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan tidak percaya kepada mahkamah.

“Ada mahkamah di luar mahkamah atau apa? Hakim pun akan pening nanti. Kenapa tiba-tiba sahaja ramai yang nak membela dalam kes ini.

“Rakyat akan tertanya-tanya, adakah pihak kerajaan memang tidak suka Raja-Raja Melayu?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, apa perasaan Raja-Raja yang sudah terguris dengan kenyataan yang dibuat Wan Ji sebelum ini, apabila kerajaan tiba-tiba seperti mahu membela pesalah terbabit.

“Atau memang kerajaan mahu menuju ke arah negara republik? Kes Adib yang jelas macam ada konspirasi pula tak nampak mereka nak bincang sebegini rupa.

“Apa nak jadi dah dengan negara ini,” katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun yang dikenakan terhadap Wan Ji, mengikut Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan hukuman berkenaan sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.

Wan Ji, 37, ditahan di Penjara Kajang, sejak semalam selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Bekas Penasihat agama, Lim Guan Eng itu terpaksa meringkuk di penjara selepas Hakim Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.



Tiada ulasan: