HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Julai 2019

Melayu berpecah kerana Pas, UMNO berbeza dasar



MGF08042017-MAKAN-MALAM-HIJAU-FM-3
Hashim Jasin


KUALA LUMPUR – Orang Melayu dan Islam berpecah kerana dua parti terbesar iaitu Pas dan UMNO yang mewakili kaum itu berbeza perjuangan.

Menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, Pas sejak penubuhannya telah memilih perjuangan berasaskan Islam, sedangkan UMNO pula memilik kebangsaan Melayu sekular.

Kata beliau, dengan matlamat dan perjuangan itu, Pas sedar ia berdepan dengan kesukaran untuk menembusi ruang politik orang bukan Melayu.

“Dalam kalangan orang Melayu, kita berpecah kerana Pas memilih Islam sebagai dasar perjuangannya, sedangkan UMNO memilih kebangsaan Melayu sekular.

“Atas perbezaan dasar inilah kita berpecah begitu lama, lebih lagi pada akhir 1960-an, pengaruh politik Melayu semakin merosot berikutan pertambahan mendadak jumlah bukan Melayu selepas 10 tahun merdeka.

“Ketika itu, Pas mengambil langkah politik perpaduan untuk kepentingan Islam. Tetapi malang, kerana UMNO tidak belajar daripada kesilapan dahulu, lalu Pas disingkirkan,” katanya di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an pula pergeseran Pas-UMNO begitu kuat sekali sehingga menimbulkan keadaan yang tegang dalam masyarakat.

“Ketika Pas bertegas dengan Islam, UMNO hanya bermain dengan kosmetik agama. Ketika Pas berusaha melaksanakan Islam di Kelantan dan Terengganu, UMNO melakukan pelbagai sekatan ekonomi dan politik. Akhirnya keadaan hubungan umat Islam menjadi runcing sesama sendiri.

“Saya sebutkan hal ini bukan kerana ingin mengungkit kepada UMNO, tetapi ia adalah pelajaran yang sangat besar kepada kita.

“Hari ini, seluruh kelemahan kita dalam menyatukan umat berasaskan akidah telah menyebabkan bukan sahaja kuasa politik orang Melayu telah terperosok ke bawah, tetapi berlaku peminggiran Islam secara besar-besaran oleh pemimpin politik yang memusuhi dan mengkhianati Islam,” katanya.

Hashim berkata, di hadapan mereka kini ada dua pilihan, sama ada memilih untuk terus berpecah, lalu membiarkan Islam terpinggir dan umatnya tertindas, atau melupakan semua kesilapan yang lama, lupakan perbezaan fahaman dan saling memaafkan.

“Kita akan mengulangi apa yang berlaku di Palestin, Bosnia dan Rohingya. Lalu kita bersatu atas nama Islam, satu landasan yang paling suci dan tidak berkepentingan, semata-mata untuk mengembalikan kemuliaan umat ini.

“Terus-terang saya katakan, Pas berlapang dada dan bersedia memaafkan seluruh kesalahan dan kesilapan UMNO yang lalu jika mereka bersedia menerima Islam sebagai asas perpaduan dan penyatuan ini.

“Kita jadikan kesilapan itu sebagai teladan dan ibrah untuk umat. Kita lihat sendiri, beban apa yang sedang ditanggung oleh umat Islam di Malaysia hari ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, perbezaan yang menimbulkan pergeseran sesama mereka sebelum ini adalah kerana pemahaman Islam yang berbeza.

Ujarnya, Pas masih percaya UMNO bukanlah menolak Islam, tetapi kerana kuatnya pengaruh sekular ke atas dasarnya menyebabkan parti itu memahami Islam dengan cara yang tidak syumul.

“Kelemahan ini mesti diperbaiki segera supaya kita sama-sama menerima Islam mengikut takrifan para ulamak muktabar yang berteraskan al-Quran dan Sunnah, bukan lagi mengikut hawa nafsu.

“Jika UMNO sudi menerima Islam sebagai alat untuk menyatukan kita, dengan kita melupakan seluruh perbezaan dan kepentingan puak masing-masing, saya sangat percaya umat Islam akan kembali kuat, bersatu-padu dan dapat menguasai semula politik dan ekonomi negara ini.

“Saya tidak nampak satu wasilah lain yang benar-benar boleh melegakan hati kedua-dua pihak – Pas dan UMNO – melainkan Islam,” ujarnya.

Kata beliau lagi, Pas bukan bermaksud dengan perpaduan orang Melayu Islam ini, maka orang bukan Melayu atau bukan Islam akan dipinggir atau ditindas.

Sama sekali tidak, katanya, Islam tidak pernah mengajar umatnya menindas orang bukan Islam dan mereka pasti akan mendapatkan seluruh hak mereka. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: