HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 September 2019

Putrajaya akan ambil tindakan syarikat tempatan sebabkan jerebu di luar negara

Sejak Januari, lebih 42,000 hektar hutan dan ladang terbakar 
di beberapa wilayah di Indonesia. (Gambar AFP)
 
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat tempatan yang beroperasi di luar negara yang menjadi punca jerebu yang melanda negara ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mungkin menggunakan undang-undang yang menjadikan syarikat itu bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan walaupun di luar Malaysia.

“Syarikat-syarikat tempatan yang memiliki ladang ladang di luar negara yang menyumbang ke arah jerebu kerana pembakaran di ladang mereka, kerajaan akan meminta mereka mengambil tindakan untuk memadamkan kebakaran.

“Tetapi sudah tentu kita mendapati mereka tidak mahu mengambil tindakan dan kerajaan mungkin meluluskan undang-undang yang akan menjadikan mereka bertanggungjawab terhadap kebakaran di dalam kawasan mereka walaupun di luar negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kerangka Dasar Luar Malaysia Baru di Pejabat Perdana Menteri.

Lapan kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat yang melebihi 201 setakat 1 tengah hari tadi.

Johan Setia di Klang mencatatkan IPU tertinggi 257, diikuti Sri Aman di Sarawak (234), Shah Alam (219), Nilai (208), Petaling Jaya (207) dan Batu Muda di Kuala Lumpur (201).

Keadaan di Klang yang mencatatkan IPU 202 sejak 6 pagi tadi turun sedikit kepada 199 setakat 1 tengah hari ini, manakala bacaan IPU di Putrajaya berubah daripada 202 setakat 7 pagi tadi kepada 200 pada tengah hari ini.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, sebanyak 1,484 sekolah di 7 negeri ditutup membabitkan 1,003,310 pelajar setakat 1 tengah hari tadi.

Ia terdiri daripada 538 sekolah di Selangor, Sarawak (337), Perak (303), Pulau Pinang (162), Kuala Lumpur (66), Negeri Sembilan (53) dan Putrajaya (25).

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, negara jiran itu berhak menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melanggar undang-undang termasuk menyebabkan kebakaran hutan.

Ia berikutan penyitaan tanah milik anak syarikat kepada 4 syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia di Indonesia, yang didakwa sebagai punca kebakaran hutan sekali gus menyebabkan jerebu di rantau ini.

Empat syarikat berkenaan adalah IOI Corporation, Sime Darby Plantation Bhd, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Mahathir juga berkata sehingga kini pihaknya belum menulis apa-apa kepada rakan sejawatannya, Presiden Joko Widodo berhubung masalah jerebu.


Mahathir berkata kerajaan juga tidak boleh menutup semua sekolah buat masa ini.

“Kita kena tengok banyak mana jerebu. Jerebu tak sama (tempat).”

Tiada ulasan: