HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Oktober 2019

Liberal rosakkan pelajar debat?

siti hafidah

 

Pengharaman homoseksual sudah jelas disebut dalam al-Quran

PRESIDEN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dengan kadar segera sebagai satu bentuk pengajaran kerana tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia.

2. Salah satu tajuk perdebatan yang menjadi isu hangat adalah pandangan yang menyatakan bahawa perlakuan homoseksual bukanlah satu dosa bahkan terdapat kenyataan yang menegaskan bahawa tiada larangan dari Allah berhubung perkara terkutuk ini.

3. Malah apa yang lebih menyedihkan lagi, terdapat juga tajuk yang membuka persoalan atau cadangan menulis semula al-Quran yang dikatakan menyebabkan pemahaman yang radikal dalam kalangan muslim.

4. Idea sebegini tidak lari dari corak pemikiran liberal yang berjuang ke arah membenarkan perlakuan terkutuk homoseksual. Malah pemikiran yang menyatakan al-Quran mengandungi elemen radikal adalah racun pemikiran barat yang cuba disuntik ke dalam pemikiran anak-anak pelajar kita.

5. Pengharaman homoseksual ini sudah jelas disebutkan di dalam al-Quran. Allah menegah perlakuan orientasi seks songsang tersebut dalam kisah Nabi Lut. Firman Allah:

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاء بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

“Sesungguhnya kamu (kaum Nabi Lut) mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

Jelas di sini, Allah menegur tindakan kaum lelaki Nabi Lut yang mendatangi lelaki dan meninggalkan perempuan. Tindakan ini Allah sifatkan sebagai tindakan yang melampau batas.

6. Dalam surah al-Shu’ara pula, Allah sekali lagi menyentuh orientasi seks lelaki dengan lelaki. Firman Allah:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ (165) وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

“Patutkah kamu (lelaki) melakukan hubungan dengan lelaki dari kalangan manusia” (165). Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” (166).

6. Berhubung perlakukan homo ini, Rasulullah turut menegaskan bahawa amalan ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah. Sabda Baginda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ

Maksudnya: “Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.” (HR Ahmad)
Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini. Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda dalam menangani permasalahan ini.

7. Amat menghairankan bagaimana setelah sebegitu jelas larangan terhadap perlakuan terkutuk ini dipaterikan di dalam lembaran kitab, masih terdapat golongan liberal yang menafikannya bahkan menganggap bahawa ia bukanlah satu dosa pun.

Apa yang lebih menyedihkan, tajuk sebegini diberikan pula kepada pelajar sekolah; seakan satu pendedahan untuk mendidik pelajar mengkritik hukum yang telah ditentukan di dalam al-Quran.

8. Manakala usaha untuk memburukkan al-Quran dengan menyifatkannya sebagai kitab yang melahirkan fahaman yang radikal adalah benih jahat pemikiran liberal yang cuba ditanam dalam pemikiran pelajar sekolah. Usaha memburukkan al-Quran ini telah dipelopori oleh kafir Qurasyh sejak dahulu lagi.

9. Kalau dahulu yang memburukkan al-Quran ini adalah Qurasyh dan orang kafir musyrik. Hari ini anak-anak muslim sendiri dilatih untuk mengucapkan kata nista tersebut kesan dari pemikiran liberal yang ditanam dibenak mereka.

10. Melihatkan kesan buruk pemikiran liberal ini, saya menyokong sepenuhnya gesaan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang bertegas supaya penganjur Pertandingan Debat tersebut dikenakan tindakan sebagai peringatan atas tindakan mereka yang seakan mempertikaikan hukum syarak bahkan mencadangkan supaya al-Quran ditulis semula.


Tiada ulasan: