HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Oktober 2019

Kita masih perlukan Sosma, kata Muhyiddin


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) “masih diperlukan” berdasarkan perkembangan yang berlaku di peringkat negara dan antarabangsa berhubung isu-isu pengganas..

Katanya, undang-undang lain sedia ada didapati tidak memadai untuk mengekang keganasan.
“Jadi bagi kita, Sosma ini masih diperlukan.

“[...] Kalau tidak ada instrumen undang-undang sebegitu, jadi mereka ini (penjenayah keganasan) akan terlepas daripada cengkaman undang-undang dan ini akan menimbulkan bahaya kepada keselamtan negara.

“Kalau ikut undang-undang sedia ada tak memadai, dan cara mereka bertindak ini di luar batas undang-undang [...],” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara di bangunan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya hari ini.
Semalam Menteri Pertahanan juga mencadangkan agar Sosma tidak perlu dimansuhkan.
Menurut Muhyiddin, manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14, tidak menyatakan bahawa mereka akan menghapuskan Sosma. Sebaliknya apa yang dijanjikan adalah untuk meneliti bab atau fasal dalam Sosma yang boleh diperbaiki.

“Sila semak (manifesto).

“Yang kita janjikan ialah untuk meneneliti mana-mana bab atau fasal dalam Sosma yang boleh diperbaiki ,” katanya.

Pada Mei lalu, Muhyiddin pernah menyatakan bahawa rang undang-undang (RUU) pindaan Sosma dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Malah ia juga tidak dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat bagi sidang yang sedang berjalan.
Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Aziz Jamman berkata bahawa RUU itu tidak akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini memandangkan pihaknya memerlukan masa untuk sebelum ia dibentang di Parlimen.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, kajian terhadap RUU untuk meminda Sosma yang dimulakan tahun ini, telah dibawa ke kabinet, namun kabinet berpendapat ada lagi perkara yang perlu diperhalusi.

Oleh itu, kata Muyiddin, penilaian diteruskan dengan menjalankan libat urus dengan pelbagai badan dan pertubuhan supaya apabila dibawa ke kabinet dan parlimen, “banyak pihak akan berpuas hati”.

Katanya, banyak perkara perlu diteliti sebelum membuat pindaan, antaranya melibatkan soal akses kepada khidmat guaman, tempoh reman yang dikatakan terlalu lama.

“Jadi apa pun, mungkin tak akan sempat (dibentangkan ketika) sesi parlimen ni, kita akan bawa ke penggal awal tahun 2020. Insya-Allah,” katanya.

Tiada ulasan: