Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 2 November: SPR
PUTRAJAYA– Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor akan
diadakan pada 16 November, umum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk
Azhar Azizan Harun.
Tarikh
penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan
diadakan pada 12 November, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bagi
membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di
sini hari ini.
PRK
Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid
Md Rafiq, 42 yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21
September lepas berikutan komplikasi jantung.
Pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, daripada
Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.
Allahyarham
yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi
menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). Wee
memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.
PRK
Tanjung Piai adalah PRK yang kesembilan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.
PRK
sebelum ini adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri
Setia, Semenyih dan Rantau manakala PRK bagi kawasan parlimen pula ialah
Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.
“Tempoh
berkempen ialah 14 hari,” kata Azhar, sambil menambah ia bermula selepas
pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam, 15 November.
Beliau
berkata, SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai
pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
Beliau
berkata, PRK Tanjung Piai dianggarkan memerlukan peruntukan RM2.67 juta.
Seramai
1,019 petugas dilantik bagi mengendalikan PRK itu dan 28 buah pusat pengundi yang
mengandungi 127 saluran mengundi terbabit, katanya.
Azhar
berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK Tanjung Piai
adalah sehingga suku tahun kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September
2019.
“Daftar
pemilih tersebut mengandungi 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 orang
pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan orang pengundi tidak hadir luar
negara,” katanya.
Azhar
berkata, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK
Tanjung Piai.
Beliau
berkata, SPR melakukan penambahbaikan dengan menyediakan dua saluran khas,
khusus bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas di setiap pusat mengundi dan
memanjangkan tempoh masa pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5
petang pada PRU14.
Penambahbaikan
lain membabitkan penambahan 26 saluran baharu bagi mengelakkan jumlah pengundi
terlalu ramai di satu-satu saluran, yang menjadikan keseluruhannya 127 saluran
berbanding 101 saluran pada PRU14, katanya.
Pengundi
orang kurang upaya (OKU) pula akan mengundi di saluran satu, katanya.
Pada
PRK Tanjung Piai itu, seramai 981 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan
mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, katanya.
Azhar
berkata, SPR akan menghantar kad pengundi yang mengandungi maklumat pusat
mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh dan masa
pengundian kepada semua pegundi di Tanjung Piai.
Mulai
16 Oktober, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat
pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman
portal www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui mesej
pesanan ringkas (SMS) ke 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Azhar
berkata, borang penamaan calon boleh dibeli mulai 8 Oktober di pejabat pegawai
pengurus pilihan raya atau pejabat daerah Pontian atau pejabat pilihan raya
negeri Johor atau di ibu pejabat SPR.
“Untuk
memudahkan proses penamaan calon, bakal calon yang ingin bertanding diminta agar
mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan pihak pejabat pegawai
pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Johor sebelum hari penamaan calon,”
katanya.
Bakal
calon juga dinasihatkan membuat pembayaran deposit lebih awal bertujuan memastikan
proses penamaan calon pada hari penamaan dapat diselesaikan lebih awal dan
berjalan lancar, katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan