HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Oktober 2019

Tiada ‘kejutan besar’ Bajet 2020

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Belanjawan kerajaan hanya nak jaga hati Melayu, Bumiputera: Berjasa


BANGI– Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini seolah-olah bajet untuk menjaga hati rakyat khususnya orang Melayu, dan Bumiputera kata Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Beliau mendapati belanjawan kali ini seolah-olah belanjawan menjaga hati orang Melayu dan Bumiputera berikutan rakyat melihat banyak kepentingan mereka dikorbankan selepas lebih 500 hari Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Badhrulhisham berkata, ini menimbulkan keresahan terutamanya kepada orang Melayu dan Islam yang mana bukan sahaja dari segi mencabar Perlembagaan, tetapi dalam agihan ekonomi yang dilihat ada beberapa polisi tidak menyenangkan.

“Saya rasa dengan tekanan yang diberi, kerajaan cuba untuk memenangi hati orang Melayu dan Bumiputera, tetapi dalam sebenarnya tak banyak beza pun daripada pentadbiran yang lalu,” katanya dalam Analisis Belanjawan yang disiarkan oleh TV Pertiwi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Badhrulhisham berkata, secara ringkasnya boleh dikatakan belanjawan kedua PH ini mungkin lebih baik daripada belanjawan 2019, bagaimanapun masih lagi tidak jelas polisi utama dasar kerajaan itu sendiri.

Katanya, dasar polisi kerajaan yang ‘u-turn’ secara tidak langsung memberi kesan kepada pembentangan belanjawan kali ini.

“Bila kita meneliti ucapan Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020, kita dapati tiada yang istimewa dan kejutan besar. Malah jika saya boleh bandingkan apa yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2018, kebanyakkan yang dibentangkan (Belanjawan 2020) ada pada Bajet 2018.

“Malahan ada setengah daripada peruntukan itu didapati kurang daripada 2018. Kalau kita nak bicara peruntukan untuk Bumiputera, Cina dan India kita lihat ada perbezaan di situ,” 
 katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2020 petang tadi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM8 bilion bagi meningkatkan agenda Bumiputera dan RM1.3 bilion lagi diperuntukkan untuk menegakkan syiar Islam.

Katanya, peruntukan untuk Bumiputera naik sebanyak 0.4 bilion daripada RM7.6 bilion jumlah yang diperuntukkan pada Belanjawan 2019.

Peruntukan itu disalurkan menerusi tiga inisiatif seperti RM6.6 bilion kepada institusi Bumiputera yang fokus kepada pendidikan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Yayasan Peneraju.


Tiada ulasan: